Thursday 5 July 2012

Aqiqah

Apa itu Aqiqah?
Aqiqah adalah binatang yang disembelih pada hari ke 7 untuk seorang bayi yang dilahirkan. Pada asalnya perkataan ini digunakan dari sudut bahasa untuk makna rambut yang ada di atas kepala bayi yang dilahirkan. Masyarakat Arab kemudiannya menukarkan kepada nama binatang sembelihan yang dilakukan sewaktu mencukur rambut bayi berdasarkan kepada adat kebiasaan mereka yang suka menamakan sesuatu mengikut nama perkara yang menjadi sebab.

 
Hukum menjalankan

Ulama' Syafie mengatakan hukum melakukan aqiqah ini adalah sunat bagi mereka yang wajib membelanjakan nafkahnya dalam sesebuah keluarga. Bagi pendapat Ulama' Hanafi pula beliau mengatakan hukumnya adalah harus, ini kerana ibadah korban yang disyariatkan telah membatalkan semua bentuk sembelihan.

Jenis binatang sembelihan
 Para Ulama' sependapat mengatakan sifat binatang yang akan disembelih untuk aqiqah adalah sama seperti binatang yang mahu dijadikan korban yang terdiri dari kambing, biri-biri, kibasy, lembu, kerbau, unta dan semua jenis yang termasuk dalam kategorinya, sama ada ianya jantan ataupun betina, baik yang baka ataupun sudah dikasi. Adalah tidak sah melakukan penyembelihan selain dari binatang (an'am) ini.
Umur binatang sembelihan
 Ulama' Syafie mengatakan syarat umur binatang aqiqah bagi kambing, lembu dan kerbau ialah genap 2 tahun, memasuki umur 3 tahun. Kibasy genap setahun memasuki umur 2 tahun. Bagi unta berumur 5 tahun memasuki umur 6 tahun.

 
Sifat binatang Aqiqah
Sifat-sifat binatang aqiqah adalah sama seperti binatang koban iaitu mestilah seekor ternakan yang sihat tubuh badannya, dipilih dari yang paling baik dan gemuk serta banyak daging. Tiada apa-apa kecacatan pada binatang tersebut seperti tempang atau kudung kakinya. Tiada sebarang penyakit berjangkit atau gila. Tidak rabun, buta sebelah mata atau dua belah matanya, tidak terlalu kurus yang menyebabkan kurang daging dan lemaknya. Rasulullah bersabda, 'Empat perkara yang tidak harus ada pada binatang koraban iaitu kabur matanya, sakit yang teruk, tempang sehingga menonjolkan tulang rusuknya seta tidak bersangatan kurus sehingga tiada lemak langsung'. (H.R. Ahmad)
Bilangan binatang Aqiqah
Ulama' Syafie dan Hanbali berpendapat bilangan aqiqah untuk seorang anak lelaki adalah 2 bahagian ataupun 2 ekor kambing sedang bilangan aqiqah bagi anak perempuan pula cuma 1 bahagian ataupun seekor kambing. Sumber pendapat mereka adalah dari sebuah hadis yang diriwayatkan dari Aisyah, Rasulullah bersabda, 'Untuk seorang anak lelaki 2 ekor kambing yang sempurna dan untuk seorang anak perempuan pula hanyalah seekor kambing'. Bagi pendapat Imam Maliki pula beliau mengatakan memadai binatang aqiqah itu seekor sahaja sama ada untuk anak lelaki ataupun untuk anak perempuan.

Waktu sembelihan

Waktu sembelihan aqiqah dilakukan pada hari ke 7 selepas kelahiran seseorang bayi. Imam Syafie dan Hanbali menegaskan, jika sembelihan itu dilakukan di luar dari waktu itu sama ada sebelum 7 hari ataupun selepas dari 7 hari ianya tetap memadai dan tidak menjadi apa-apa kesalahan. Dalam hal ini Imam Hanbali menambah, sesuatu aqiqah itu tidak harus dilakukan oleh orang lain selain dari bapa. Demikian juga aqiqah tidak boleh dilakukan oleh kanak-kanak itu sendiri walaupun setelah ia dewasa dan berkemampuan, ini kerana ia telah disyariatkan ke atas seorang bapa.
Hukum daging aqiqah
Daging aqiqah adalah sunat dimasak dan dimakan oleh anggota keluarga dan juga untuk orang luar seperti mengadakan jamuan ataupun dibuat kenduri. Dalam masalah memecahkan tulang, Imam Syafie dan Hanbali berpendapat ianya tidaklah dihukum makruh kerana tidak terdapat sebarang dalil yang mensabitkannya tetapi ianya hendaklah dilakukan dengan cara yang berpada atau sekadar yang perlu sahaja dan janganlah sampai hancur atau berkecai terus akan tulang-tulang binatang aqiqah itu. Tujuan ini dilakukan adalah dengan harapan supaya anggota-anggota anak tersebut menjadi lebih kuat dan selamat dan ini juga berdasarkan kepada sebuah hadis dari Aisyah yang mengatakan, 'Mengikut sunnah bagi setiap anak lelaki dua ekor kambing yang elok dan untuk anak perempuan seekor kambing dimana ianya dimasak tanpa dipecahkan atau dipatahkan tulang-tulangnya serta dimakan, dijamu dan disedekahkan kepada orang ramai. Ini semua dilakukan pada hari ke 7'. Imam Ahmad pula mengatakan adalah harus kepala dan kulit binatang aqiqah dijual dan wangnya itu disedekahkan pula.
Amalan yg dituntut slps kelahiran bayi

1.Sunat bagi seorang bapa melafazkan azan ke telinga kanan bayinya dan iqomah pada telinga sebelah kirinya. Perbuatan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah sewaktu menerima kehadiran cucu pertama dari puterinya Fatimah. Sebuah hadis dari Ibnu Abbas beliau menyebut, bahawa Rasulullah telah melakukan azan di telinga Hassan b. Ali pada hari ia dilahirkan dan Baginda juga melakukan iqomah pada telinga kirinya.

2.Sunat mentahniqkan dengan sesuatu yang manis ke mulut bayi seperti buah tamar, pisang dan sebagainya. Caranya ialah dengan mencalitkan atau meletakkan sebahagian kecil sahaja dari cebisan buah tersebut ke mulut bayi.

3.Sunat juga mengucapkan tahniah kepada mereka yang baru mendapat cahaya mata dengan menyebut, 'Semoga Allah memberikan keberkatanNya kepadamu dengan kurniaan ini dan bersyukurlah kepada Allah.

4.Sunat mencukur rambut di kepala bayi pada hari ke 7 dan menamakan bayi itu dengan nama-nama yang baik serta melakukan aqiqah untuknya. Berat rambut bayi yang dicukur ditimbang lalu dikeluarkan sedekah emas atau perak seberat timbangan rambutnya. Rasulullah pernah mengarahkan kepada puterinya Fatimah dengan sabdanya,'Hendaklah engkau timbang rambut Hussain ini dan bersedekahlah dengan perak mengikut berat timbangannya'.

DOA

Doa adalah sebagai pelindung dan senjata kepada setiap orang mukmin dari godaan dan hasutan syaitan serta dari kejahatan manusia. Dengan berdoa akan mententeramkan jiwa kita, menjadi penawar dan penenang kepada hati yang bersedih. Firman Allah, 'Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang'. (surah Ar-Ra'du ayat 28).

Berdoa adalah ubat penyembuh bagi segala jenis penyakit yang ada pada diri manusia sama ada penyakit zahiriah mahupun penyakit batiniah. Doa merupakan tali penghubung di antara anak dengan kedua ibu bapa yang telah meninggal dunia maka doa dari anak-anaknya yang soleh amatlah dinantikan untuk mendoakan kesejahteraan mereka di dalam kubur. Bersabda Rasulullah, 'Apabila anak Adam meninggal dunia, maka putuslah semua amalannya melainkan 3 perkara iaitu, sedekah jariah, ilmu yang manfaat dan anak yang soleh yang (setiasa) mendoakannya'. (H.R.Bukhari dan Muslim).

Dengan berdoa Allah akan membukakan pintu rahmat-Nya kepada manusia. Bersabda Rasulullah, 'Doa itu adalah anak kunci kepada pintu rahmat'. (H.R.Ad-Dailami)

Doa yg cepat diperkenankan oleh Allah swt

1. Doa dari para Malaikat.
2. Doa dari para nabi dan rasul.
3. Doa dari raja, pemerintah atau pemimpin yang adil.
4. Doa dari orang yang soleh dan bertaqwa.
5. Doa kedua ibu bapa ke atas anak-anaknya.
6. Doa dari anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya.
7. Doa dari orang yang dizalimi atau dianiaya.
8. Doa dari orang yang berpuasa.
9. Doa dari orang tua dan kanak-kanak.
10. Doa dari orang yang sakit dan berada dalam kesusahan.
11. Doa dari orang yang keluar bermusafir pada perkara yang diharuskan oleh syara'.

 
Adab2 berdoa
1. Berdoa dalam keadaan diri masih berwuduk serta bersih dari sebarang kotoran, hadas dan najis.

2. Memulakan doa dengan membaca 'Bismillah' dan ucapan memuji-muji Allah serta berselawat ke atas Nabi Muhammad.

3. Mengadap ke Kiblat.

4. Memohon ampun dengan merendahkan diri serta mengakui akan kesalahan diri di atas dosa dan kesilapan yang telah dilakukan sebelum berdoa.

5. Berdoa dan memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta memahami segala isi kandungan dan maksud doa.

6. Berdoa dengan penuh khusyuk, tawaduk dan ikhlas serta merendahkan diri.

7. Mendahulukan doa dan permintaan untuk diri sendiri terlebih dahulu sebelum berdoa untuk mereka-mereka yang lain.

8. Berdoa dan mengulangi bacaan doanya sebanyak 3 kali bagi sesuatu hajat yang lebih berat atau yang lebih diutamakan.

9. Menghindari diri dari sesuatu yang ditegah dan dilarang oleh agama sama ada pada makanan, minuman, pakaian ataupun pekerjaan.

10. Berdoa untuk kaum muslimin dan muslimat secara seluruhnya untuk kesejahteraan mereka tidak kira yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.

 
Waktu yang terbaik utk berdoa
1. Waktu sahur.
2. Waktu selepas azan.
3. Waktu 1/3 malam.
4. Waktu hujan lebat.
5. Waktu melihat Kaabah.
6. Waktu tawaf dan sa'ei.
7. Waktu setiap kali lepas sembahyang.
8. Waktu setiap kali lepas membaca al-Quran.
9. Waktu hampir untuk berbuka puasa.
10. Waktu berpuasa wajib atau puasa sunat.
11. Waktu di antara dua khutbah Jumaat.
12. Waktu di antara iqomah dan sembahyang.
13. Waktu berkumpul dalam majlis ilmu atau majlis zikir.
14. Waktu dalam kesedihan, kesusahan dan penderitaan.
15. Waktu semasa meminum air zam-zam.
Hari yang terbaik utk berdoa
1. Malam Jumaat dan waktu siangnya.
2. Malam Hari Raya dan watktu siangnya.
3. Malam Lailatul Qadar.
4. Malam Israk dan Mikraj.
5. Malam Nisfu Syaaban.
6. Malam pertama bulan Rejab.
7. Hari Arafah.

 
Bulan yg terbaik utk berdoa
1. Bulan Rejab.
2. Bulan Sya'aban.
3. Bulan Ramadhan.
4. Bulan Zulhijjah (Bulan Haji).


Tempat yg terbaik utk berdoa

1. Di rumah sendiri.
2. Di Multazam, Masjidil Haram.
3. Di telaga zam-zam, Masjidil Haram.
4. Di makam Nabi Ibrahim a.s.
5. Dalam Hijr Nabi Ismail a.s.
6. Di Bukit Safa dan Bukit Marwah.
7. Di raudhah Masjid Nabi iaitu Masjid Nabawi.
8. Di tempat-tempat mulia yang lain seperti masjid, surau dan rumah ibadah.
9. Dalam Masjidil Haram di kala melihat Ka'bah atau disisinya.
10. Di tempat-tempat wajib haji seperti di Mina, Muzdalifah, Arafah dan di tiga Jamrah.


Sebab doa tidak diperkenankan
1. Kita mengaku mengenali Allah tetapi tidak pernah menunaikan akan hak-hakNya dengan melaksanakan segala surahan-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya.

2. Kita mengakui menyintai Rasulullah tetapi tidak pernah sekali pun mengikuti sunnahnya.

3. Kita mengakui bahawasyaitan itu adalah musuh yang paling ketat tetapi masih patuh dan mengikuti segala hasutannya.

4. Kita sering membaca kitab suci Al-Quran tetapi tidak pernah mengamalkan segala isi kandungnya.

5. Kita sentiasa berdoa supaya dijauhkan dari seksaan api neraka tetapi dalam masa yang sama kita masih melakukan maksiat dan dosa.

6. Kita sering mengumpat dan mendedahkan keaiban saudara seagama kita tetapi tidak pernah melihat kepada keaiban sendiri.

7. Setiap hari kita mendapat nikmat dan rezeki yang Allah beri tetapi tidak pernah sekalipun mahu bersyukur dan berterima kasih kepada-Nya.

8. Kita mengiringi dan mengebumikan jeazah di perkuburan tetapi tidak pernah mahu mengambil iktibar dari kematian itu.

9. Kita tahu dan yakin bahawa kematian itu pasti berlaku tetapi tidak membuat persiapan untuk menuju ke sana.

10. Kita sentiasa berdoa supaya dimasukkan ke dalam syurga dan ditempatkan bersama orang-rorang soleh tetapi tidak pernah berusaha mendapatkannya.

Semoga kita sama-sama mendapat manfaat dari perkongsian ini.
Wallahualam..

Wednesday 4 July 2012

Berhutang: Roh Tergantung Antara Langit Dan Bumi

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud:

“Roh seorang mukmin yang berhutang jika hutangnya tidak dijelaskannya maka tergantung-gantunglah ia di antara langit dan bumi, yang bererti terseksalah roh itu hingga dibiarkan hutangnya itu”

Oleh itu, walaupun banyak amal ibadat kita, banyak sedekah kita, jika ada hutang yang tidak selesai walaupun satu sen pasti roh kita akan terseksa setelah kita mati.

Oleh itu, jika berhutang hendaklah ditulis dan beritahu kepada waris kita sebelum kita mati supaya waris kita dapat menyelesaikannya.

Seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 282:

“Wahai orang mukmin, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan cara berhutang (yang bertempoh) hingga ke ssuatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulisnya (kadarnya dan tempohnya) dan hendaklah ada jurutulis yang menulisnya dengan adil dan benar, dan janganlah seorang penulis itu enggan menulis/mencatit sebagaimana Allah telah ajarkan. Oleh itu hendaklah penulis itu mengikut yang merencanakan oleh pihak yang terlibat dengan penuh rasa taqwa kepada Allah Tuhannya dan janganlah dia mengurangkan sesuatupun dari jumlah atau kadar dan tempoh masa berhutang itu dimulakan hingga selesai dibayarkan balik dengan sempurna.”

Beribadah Dan Membaca Yasin 3 Kali Pada Malam Nisfu Syaaban

Apakah Hukum Membaca Yasin 3 Kali Pada Malam Nisfu Sya'ban ?

Jawapan dari Ustaz Abdul Kadir Al Jofree :

Sebagai menjawab persoalan yang diajukan, Nisfu Sya'ban biasanya dimaksudkan 15 Sya'ban. Malam nisfu Sya'ban pula adalah malam 15 Sya'ban (14hb siangnya, malamnya, dipanggil malam 15 ya).

Di negara Arab dan Nusantara, biasanya dibacakan Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Sya'ban setiap satu dengan niat tersendiri, yang akan diajarkan oleh para guru. Perkara ini hampir berlaku ijmak padanya, memandangkan dilakukan oleh para Fuqaha' zaman berzaman dari dahulu lagi.

Perkara ini tidak dinisbahkan kepada Rasulullah sendiri. Akan tetapi ia boleh dilakukan selagi mana ibadah tersebut tidak bertentang dengan syara' (samaada dilakukan bersendirian mahupun beramai-ramai itu sekadar satu teknik dakwah). Contohnya, zikir, doa, membaca Al-Quran, membuat kelas ilmu dan sebagainya.

Para ulamak kita di tempat lain (di Mesir, beberapa tempat di Saudi, Yaman, Siria, Nusantara, dan lain-lain) kebanyakannya tidak bersetuju dengan fatwa tersebut (Fatwa Dr Yusof Al Qardhawi yang menolak amalan Yasin 3 kali dan mengatakan ia adalah bid'ah yang diada-adakan). Oleh kerana itulah amalan beramai-ramai pada malam Nisfu Sya'ban ini dilakukan oleh para ULAMA' zaman berzaman di merata tempat sejak zaman salaf lagi.

Di bawah ana nukilkan tulisan Sidi Abu Muhammad pada menceritakan Nisfu Sya'ban dengan jelas dan adil ya...

Adapun kelebihan Malam Nishfu Sya'baan itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu'az bin Jabal radhiallahu 'anhu,

bersabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam yang maksudnya :

"Allah memandang kepada semua makhlukNya di Malam Nishfu Sya'baan, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan."
[ Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban]

Di Malam Nishfu Sya'baan juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa.

Berkata Imam asy-Syafi'ie dalam kitabnya al-Umm:

"Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya 'Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nishfu Sya'baan."

Malam Nishfu Sya'baan merupakan malam yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kenyataan ini dapat direnung kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu'az bin Jabal radhiallahu 'anhu di atas.

Adapun cara menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidak berlaku pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi'in dari penduduk Syam.

Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya al-Mawahib al-Ladunniyah,

Bahawa para tabi'in daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma'dan dan Makhul, mereka beribadat dengan bersungguh-sungguh pada Malam Nishfu Sya'baan. Maka dengan perbuatan mereka itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.

Para tabi'in tersebut menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan dengan dua cara:

* Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam (qiamullail) untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.

* Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.

Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan dengan membaca Al-Quran seperti membaca surah Yaasiin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabi'in itu.

Berhubung dengan persoalan sholat khas Nishfu Sya'baan, maka berlaku khilaf antara ulama kita, ada yang mensabitkannya seperti Hujjatul Islam al-Ghazali dan ada yang memandangnya sebagai bid'ah yang keji. Khilaf berlaku pada pengkhususan sholat yakni memandang adanya satu sholat khusus malam tersebut seperti tarawih atau sholat hari raya. Untuk keluar dari khilaf bagi sesiapa yang hendak bersholat, maka lakukanlah sholat-sholat sunnat seperti sunat Awwabin (di antara waktu Maghrib dan Isya'), sembahyang tahajjud, akhirnya sembahyang witir atau sembahyang sunat muthlaq . Sembahyang sunat muthlaq ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada Malam Nishfu Sya'baan atau pada malam-malam yang lain.

Sedikit tambahan lagi:

Amalan-amalan ini merupakan teknik yang pelbagai dalam menyampaikan dakwah oleh para ulama silam yang amat pakar dalam menyampaikan dakwah mereka ke seluruh pelusuk dunia. Adapun teknik-teknik amalan yang dilakukan oleh sesetengah pihak bergantung kepada para ulamak yang mengajarkan dan kepada siapa diajarkan. Semuanya adalah dibenarkan selagi mana tidak melanggar syara'. Sama ada hendak solat sunnah, berzikir atau membaca Al-Quran bergantung kepada kemampuan individu.

Perkara-perkara ini tidak patut sama sekali diperselisihkan atau ditentang. Biarlah manusia lain ingin beramal sedayanya tanpa kita sibuk menutup jalan-jalan kebajikan ini. Apapun perkara ini adalah dalam batasan perselisihan yang dibenarkan oleh syara'. Berlapang dadalah jika pihak lain tidak bersetuju dengan kita, selagi mana menjaga akhlak Islam.

Malang sekali jika perkara-perkara besar dalam masyarakat tidak dihiraukan, tetapi kita lebih suka membicarakan adakah boleh melakukan amalan pada malam nisfu Sya'ban atau tidak. Tetapi, kita lebih risau jika digolongkan di kalangan mereka yang menentang apabila perbuatan makruf dilakukan, manakala apabila perbuatan mungkar dilakukan, duduk diam sahaja tidak diendahkan. Na'udzubillah min zalik. Inilah akibatnya jika tidak mempunyai kefahaman jitu dalam ikhtilaf serta ujub dengan diri sendiri dalam ilmu yang dimiliki.

Semoga kita sama-sama dapat menggarap kemuliaan malam Nisfu Sya'ban yang menjelang. Semoga Allah menggolongkan kita di kalangan mereka yang mendapat pengampunan dan rahmat-Nya pada malam tersebut. Amiin.

Wallahu A'lam

Bulan Syaaban Dan Malam Nisfu Syaaban

Bulan Syaaban muncul lagi. Syaaban menandakan umat Islam semakin menghampiri Ramadhan. Marilah kita sama-sama merenung sejenak apakah pengertian Syaaban dan Malam nisfu Syaaban. Masih ramai umat Islam di luar sana keliru dan musykil tentang amalan-amalan yang sepatutnya dikerjakan pada bulan Syaaban, dan terutamanya pada malam kelima belasnya. Sebelum itu, marilah kita sama-sama mendalami dan mengenali sedikit sebanyak info tentang bulan Syaaban ini.

PENGERTIAN SYAABAN

Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab. Bulan Syaaban juga merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, dan pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Syaaban dimengertikan sebagai berpecah-pecah atau berpuak-puak. Dikatakan masyarakat Quraisy pada waktu itu berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir. Dan apabila datangnya Rasulullah S.A.W, baginda mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah S.A.W telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah S.A.W bertanya kepada sahabat-sahabatnya;
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah S.A.W, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama)
MALAM NISFU SYAABAN

Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban. Maka, Nisfu Syaaban adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu.
Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai. Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:
“Rasulullah S.A.W telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda S.A.W dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda S.A.W berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”
Baginda Rasulullah sendiri telah menggalakkan kita agar beramal pada malam kemuliaan nisfu syaaban dengan sabdanya :
Ertinya : “ Apabila tiba malam Nisfu Syaaban , maka hendaklah kalian bangun pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya, ini kerana Allah swt (turun merahmati hamba-hambaNya) pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari ke langit dunia. Allah swt berfirman ” Adakah dari kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Ku ampunkannya. Adakah dari kalangan mereka yang memohon rezeki , maka akan Ku turunkan rezeki untuknya. Adakah dari kalangan mereka orang yang ditimpa bala, maka akan Ku sejahterakannya. Adakah dari kalangan mereka yang begini dan adakah dari kalangan mereka yangt begini sehinggalah terbit Fajar “.
Setelah Baginda S.A.W selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a.
“Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang2 yg dengki.”
Hari nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Syaaban bermula pada 14 hb Syaaban sebaik sahaja masuk maghrib).
FADHILAT BULAN SYAABAN
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
  • Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah S.A.W lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini. Begitulah tingginya pekerti Nabi Muhammad nabi junjungan kita.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
  •  Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.
 Kita sebagai umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyak doa, zikir, dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.:
"Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
  •  Bertaubat
 Kita juga digalakkan untuk melalukan taubat kepada Allah SWT. Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya:
"Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu." Sabda Nabi s.a.w. : Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu. Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi tauladan Nabi Allah Yusuf a.s.di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakaratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nakir, ditutup Allah keaipannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Syaaban dan akhir Khamis daripada Syaaban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah). Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Syaaban.”
Sabda Nabi s.a.w.: “Syaaban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani). Sabda Nabi s.a.w.: “Bahawa puasa Syaba'an kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban, kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatikan rezeki baginya” antara lain sabdanya lagi: “Bahawa Allah Ta'ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat”.
PERISTIWA PENTING DI BULAN SYAABAN
Mengenali bulan Syaaban tanpa mengetahui peristiwa penting yang berlaku di bulan Syaaban terasa tidak lengkap. Terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku sepanjang bulan Syaaban. Antaranya ialah malam Nisfu Syaaban, penukaran arah kiblat, dan peperangan bani Mustaliq.

Suami Yang Terlalu Banyak Menuntut

Kebanyakkan wanita yang telah berkahwin secara tidak langsung akan terlibat dengan sikap suami yang inginkan isterinya bersikap seperti keinginannya. Dengan kata lain, isteri perlu menurut segala kata-kata dan kehendak suami.

Suami yang memiliki kecenderungan menuntut kadangkala membolehkan isterinya untuk melakukan hobi atau kesenangannya, namun tetap dengan bersyarat, misalnya jangan terlalu lama, harus pulang tepat pada waktunya dan sebagainya. Kelakuan seperti ini merupakan gambaran dari seorang suami yang sebenarnya tidak rela jika isteri melakukan perkara kesukaannya. Selain tidak senang dengan kebebasan isterinya, baik bersosial dengan teman, suami yang terlalu banyak menuntut memiliki kemungkinan bahawa dia belum sepenuhnya percaya kepada isteri.

Seorang suami yang banyak menuntut adalah kerana pengaruh male chauvinisme, iaitu suatu keinginan dari seorang lelaki untuk kelihatan lebih baik daripada seorang perempuan. Setiap lelaki pada umumnya memiliki sikap ini, namun kadarnya adalah berbeza-beza pada setiap lelaki. Sikap terlalu banyak menuntut juga boleh disebabkan oleh gaya asuhan sejak dari kecil, contohnya sejak dari kecil dia terbiasa untuk bertanggungjawab terhadap adik-adiknya.

Suami yang terlalu menuntut bukanlah bererti seorang suami yang sempurna kerana seorang lelaki perfectionis menginginkan semuanya sempurna baik untuk diri sendiri mahupun dari pasanganya. Mereka lebih tergolong dalam mereka yang bersikap egois. Mereka selalu ingin dihargai daripada isterinya, membuatkan mereka lebih memikirkan diri sendiri daripada orang lain.

Kebanyakkan isteri yang memiliki suami jenis ini lebih bersikap mengalah dengan harapan agar rumahtangga akan kekal. Padahal, jika tuntutan suami terus berterusan dan semakin melampaui batas, dan isteri hanya boleh mengalah maka pernikahan anda boleh terancam dan kemungkinan terkandas ditengah jalan. Oleh itu, anda harus memperbetulkan tuntutan dari suami.

Jika tuntutan terlalu berat, nyatakan dari awal, jangan sampai tuntutan tersebut tetap dilaksanakan sementara anda menggerutu dibelakangnya. Jika tuntutan suami tidak masuk akal dan anda tetap melakukan tuntutan tersebut kerana percaya bahawa seorang isteri harus menuruti perintah suami agar menjadi isteri yang baik dan ibu yang mulia, maka kebaikan dan kemuliaan itu menjadi tidak beerti jika anda merasa letih dan tertekan.

Tuesday 3 July 2012

Membezakan kasih sayang punca anak derhaka

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Isteri Basyir bin Saad al-Anshari meminta suaminya supaya memberikan harta yang berharga kepada seorang anaknya yang bernama al-Nu’man bin Basyir RA. Dia menyuruh suaminya berjumpa Rasulullah SAW supaya baginda boleh menjadi saksi di atas pemberian sejumlah harta kepada anaknya itu. Maka Basyir pun mendatangi Rasulullah SAW, kemudian berkata: ”Wahai Rasulullah SAW, isteriku meminta supaya aku memberikan harta untuk anakku si polan dan aku mahu supaya kamu menjadi saksinya. Bersabda Rasulullah SAW yang maksudnya: ”Apakah anak-anakmu mempunyai saudara-saudara yang lain?” Basyir menjawab: Ada! Rasulullah bertanya lagi: Adakah semua mereka engkau berikan hamba sahaya seperti engkau berikan kepada anakmu yang itu? Jawab Basyir: Tidak! Rasulullah SAW bersabda: ”Perbuatan seperti itu adalah tidak patut dilakukan dan aku tidak boleh menjadi saksi, kecuali atas yang hak dan benar sahaja.” (Hadis riwayat Imam Muslim, Ahmad dan Abu Daud)
Di dalam sabda baginda SAW yang lain bermaksud: ”Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah kepada anak-anak kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tersebut di dalam kitab al-Mughni, diutamakan anak itu dalam pemberian kerana suatu pengkhususan seperti ada keperluan yang mendesak atau kerana ia mengidap penyakit seperti lumpuh, buta atau kerana tanggungan anak-anaknya ramai atau kerana masih menuntut ilmu dan sebagainya yang patut dikhususkan. Begitu pula dalam hal menahan pemberian kepada setengah-setengah anak kerana kefasikannya, atau kerana melakukan bid’ah atau menggunakan pemberian itu untuk bermaksiat kepada Allah Taala atau dia membantu orang lain melakukan maksiat. Maka menurut riwayat Imam Ahmad ia dibolehkan melakukan yang demikian.

Harta boleh merosakkan manusia, perkara ini amat diambil berat oleh baginda SAW di dalam mendidik anak. Islam merupakan al-Din yang sempurna ajarannya. Segala sesuatu yang berhubungan dengan hidup dan kehidupan ini diatur dan disusun mengikut landasan hukum dan ajaran agama yang syumul. Islam mengajarkan supaya seorang muslim merancang apabila mahu mendirikan bahtera rumahtangga. Diawali dengan pemilihan pasangan yang betul, yang menepati ciri-ciri iman dan amanah. Di samping persediaan diri dalam hal ilmu rumahtangga, bekalan ekonomi yang kukuh dan kemantapan emosi. Apabila dikurnia seorang anak sebagai cahayamata dan penenang jiwa maka sepasang suami isteri akan mengalami fasa yang baru dan lebih mencabar.

Agama juga mengatur gaya dan cara asuhan seorang muslim terhadap anak-anaknya. Sebagai bapa dan ibu yang beriman kita dituntut untuk berlaku adil kepada anak-anak. Supaya kehidupan berkeluarga terjaga dengan sikap saling menyayangi dan tidak timbul perselisihan di antara mereka. Kebahagiaan sejati adalah perasaan kasih sayang yang boleh dikongsi bersama keluarga, tiada kebencian, buruk sangka dan ketamakan harta yang merosakkan pertalian darah dan nyawa. Berapa ramai manusia yang tercari-cari kasih sayang, ketika hendak menutup mata barulah adik beradik kembali dihubungi, yang jauh mahu didekatkan dan yang berpecah ingin disatukan. Di situlah manusia menemukan kekayaan sejati, ketika kasih sayang seorang adik menutup mata, kakak yang mahu berpisah nyawa dari badan. Hilang segala kebencian dengan kemaafan dari nurani, kala itu harta benda rasa tak berharga. Sengketa yang dahulu berpunca dari harta musnah sudah dengan pertalian darah saudara sekandung. Tetapi jika demikian akhir ceritanya, sungguh menyayat hati, mengapa tidak dihindarkan persengketaan itu dan dicari punca sebenar ia terjadi?

Rasulullah SAW telah mengingatkan kita, berlaku adillah kepada anak-anakmu! Hati mereka akan disatukan oleh kasih sayang. Sesungguhnya salah satu punca kerenggangan hubungan anak-anak adalah sikap ibu bapa yang berat sebelah. Yang tua dilebihkan daripada yang muda, atau yang bongsu istimewa dari yang lain. Sungguh Nabi SAW menolak menjadi saksi ke atas Basyir yang mahu melebihkan seorang anaknya daripada yang lain.

Kasih sayang orang tua dan keadilan dalam pemberian harta ke atas anak-anak mereka adalah perkara yang dituntut oleh agama. Supaya tidak ada pemusuhan dan persengketaan pada akhirnya. Bukan hanya harta yang menjadi tumpuan perebutan bahkan perhatian dan cinta orang tua juga amat berharga bagi anak-anak. Ada kalanya kita melebihkan anak yang kaya daripada yang sederhana. Atau yang berjaya dalam karier sentiasa dipuji melambung-lambung di hadapan yang anak-anak yang gagal. Sungguh tidak adil bila ibu bapa membeza-bezakan anak walaupun dengan pujian dan penghargaan. Ada pula ibu bapa yang menyebut satu persatu pemberian anak yang kaya di hadapan anak yang kurang berkemampuan. Hal itu telah mendatangkan kemurungan dan rasa terkilan pada diri anak yang tidak dapat memberi lebih kepada orang tuanya.

Akhirnya kita sendiri yang membuat anak-anak menjauh dari sisi, anak-anak akan datang dan pergi mengikut keredaan hati ibu dan bapanya. Jika kita sebagai ibu bapa reda dengan apa saja keadaan mereka, mereka akan datang mencium tangan menagih sayang. Tetapi jika sindiran sahaja yang mereka dengar dari mulut ibu dan ayah. Siapakah yang sudi menemani di akhir usia nanti? Derhaka atau tidak mereka tetap darah daging kita, begitu cara kita membuat acuan begitu pula akan terjadi pada diri mereka nanti. Kertas yang putih itu pasti ada yang mencorakkannya hingga ia tak lagi putih.

Sesetengah adat orang Melayu Sarawak, kaum ibu sengaja menyimpan tali pusat bayi mereka yang telah kering. Disimpan dalam satu botol dan tidak boleh dipisahkan tali pusat anak-anak itu kesemuanya. Apabila ditanya maksud dan tujuan perbuatan itu, mereka percaya bahawa anak-anak akan rukun dan saling menyayangi hingga ke akhir hayat. Memang tak masuk di akal dan agama tidakpun mengajarkan perkara itu. Tetapi ia telah memberi satu pengajaran kepada kita bahawa orang-orang tua kita amat menitik beratkan kerukunan dalam mendidik anak-anak mereka.