Thursday 28 June 2012

BANYAK PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ BOLEH JADI TELADAN & PERINGATAN

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud:
"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami (Allah) berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Israk ayat 1).
Menurut ulama, sebelum terjadi peristiwa Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad SAW terlebih dulu mengalami pembedahan dada dan perut yang dilakukan oleh malaikat Jibril dan Mikail AS. Hati Baginda SAW dicuci bersih dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (alaqah), iaitu tempat syaitan membisikkan was-was. Kemudian dituangkan hikmah, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu dadanya dijahit dan dimeterikan dengan ‘khatimin nubuwwah’. Selesai pembedahan, didatangkan haiwan dari syurga bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan Israk itu.

Daripada peristiwa ‘pembedahan’ dada dan perut Nabi SAW itu, maka wujudlah ilmu pembedahan sekarang yang dilakukan kaji selidik oleh ilmuwan sains dan teknologi kedoktoran masa lampau.

Israk yang bererti perjalanan malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Sepanjang perjalanan itu Rasulullah diiringi dan ditemani oleh malaikat Jibril dan Israfil. Kemudian mereka singgah di tempat tertentu yang mulia dan berkat. Rasulullah berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat.

Lokasi itu ialah Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. Bukit Tursina (Mesir), iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah, dan Baitullaham (Palestin), tempat Nabi Isa AS dilahirkan.

Dalam perjalanan itu Baginda menghadapi gangguan Jin Ifrit dan dapat menyaksikan pelbagai peristiwa yang sangat ajaib, antaranya kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, yang melambangkan kaum yang berjihad ‘fisabilillah,’ tempat yang berbau harum, iaitu kubur Mashitah, tukang sisir rambut anak Firaun bersama suaminya dan anak-anaknya yang dibunuh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah.

Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh semula, kemudian dipecahkan lagi, demikian dilakukan berkali-kali. Jibril memberitahu Rasulullah: “Itulah orang yang berat kepala mereka untuk sujud bersembahyang.”

Kemudian sekumpulan orang yang hanya menutup aurat kemaluan mereka dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti haiwan ternakan. Mereka makan bara api dan batu batan dari neraka Jahanam. Jibril berkata: “Itulah orang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.”

Sekumpulan orang lelaki dan perempuan memakan daging busuk, daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibril: “Itulah lelaki dan perempuan melakukan zina, sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing ada isteri dan suami.”

Sekumpulan lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibril: “Itulah orang yang memakan riba. Sekumpulan lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tidak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibril: “Itulah orang yang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih ingin menerima amanah yang lain.” Banyak lagi peristiwa berlaku sepanjang perjalanan Nabi itu.

Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril: “Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga. Kata Jibril: “Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tidak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibril: “Itulah orang yang bercakap besar (takbur), kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.”

Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibril: “Itulah gambaran dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.”

Seorang perempuan tua yang bongkok menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibril: “Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.”
 Setelah sampai di Masjidil Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq, kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbiya dan mursalin menjadi makmum. Rasulullah berasa dahaga, lalu dibawa Jibril dua bekas berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu.

Kata Jibril: “Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat Baginda akan menjadi sesat.”

Ketika Mikraj, iaitu Rasulullah naik ke Hadhratul Qudus menemui Allah SWT. Di langit pertama, Rasulullah berjumpa dengan Nabi Adam AS. Langit kedua, Nabi SAW bertemu dengan Nabi Isa dan Nabi Yahya AS. Langit ketiga, Nabi bertemu dengan Nabi Yusuf. Langit keempat, Nabi bertemu dengan Nabi Idris, langit kelima, Nabi bertemu dengan Nabi Harun, langit keeenam, Nabi bertemu dengan nabi-nabi dan seterusnya Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala yang diperintah oleh Jibril, lalu dapat melihat umat Baginda yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Langit ketujuh, Nabi bertemu dengan Nabi Ibrahim yang sedang bersandar di Baitul Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah, Nabi Ibrahim bersabda: “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu daif, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu ‘La haula wala quwaata illa billah.’

Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibril masuk ke dalam Baitul Makmur dan bersembahyang (Baitul Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Makkah).

Ada riwayat menyatakan, setakat ini saja Jibril menghantarkan Nabi SAW untuk menemui Allah SWT.

Tangga (mikraj) kelapan, di sini disebut 'al-Kursi', berbetulan dengan dahan pokok Sidratul Muntaha. Di sini Rasulullah melihat pelbagai keindahan seperti sungai Kauthar yang mengalir terus ke syurga dan lain-lainnya.

Tangga kesembilan, Rasulullah masuk di dalam Nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul Aqlam, di sini dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berziikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Tangga ke-10, Rasulullah SAW sampai di Hadhratul Qudus dan Hadhrat Rabbul Arbab dan bersujud ke hadrat Allah Taala dan terjadilah beberapa dialog dengan Allah SWT. Akhirnya Allah memfardukan sembahyang lima kali sehari semalam, yang pada mulanya difardukan sebanyak 50 kali.

Perkara-perkara yang menyebabkan turunnya bala bencana dari Allah s.w.t

Jika umatku melakukan 15 perkara yang berikut, nescaya bala dan bencana akan menimpa mereka.

Sahabat bertanya, "Apakah perkara itu Ya Rasulullah?"

Baginda menjawab,:

1. Jika harta rampasan perang bertukar tangan

2. Jika amanah dianggap satu keuntungan

3. Jika zakat dianggap sebagai denda

4. Jika lelaki terlampau tunduk pada isteri

5. Bila terdapat anak-anak derhaka kepada ibunya

6. Jika ada orang terlampau patuh kepada teman

7. Apabila ayah sendiri dihampakan dan disia-siakan

8. Bila ada orang yang suka bertengkar di dalam masjid

9. Apabila orang yang rendah maruahnya menjadi ketua sesuatu kaum

10. Memuliakan seseorang kerana takutkan kejahatannya

11. Apabila minuman keras tersebar secara meluas

12. Apabila ramai yang memakai sutera

13. Apabila penyanyi wanita begitu diagung-agungkan

14. Apabila alat-alat muzik digunakan

15. Apabila umat hari ini mengutuk umat sebelumnya

Apabila hal seumpama ini telah berlaku, maka tunggulah ketika itu, akan tibanya angin yang panas atau bahaya-bahaya lain seperti gempa bumi dan penukaran corak dan rupa.

SUBHANALLAH......Apakah yang kita lihat, yang telah berlaku pada masa ini?


Wallahu ‘alam bi sawab.


JUTAWAN DAN PENGASAS BANK AL-RAJHI MEMILIH UNTUK MISKIN

Sulaiman Al-Rajhi pengasas Bank Al-Rajhi,
Jutawan Arab Saudi yang berjaya mengubah hidup beliau daripada seorang rakyat miskin hingga berjaya mengumpul kekayaan, Sulaiman Al-Rajhi, merupakan seorang dermawan yang terkenal di dunia.

Beliau adalah pengasas Bank Al-Rajhi, bank Islam terbesar di dunia, dan salah satu daripada syarikat terbesar di Arab Saudi.

Sehingga 2011, kekayaan beliau telah dianggarkan oleh majalah Forbes, bernilai sebanyak AS$ 7.7 bilion sekali gus disenaraikan sebagai orang ke-120 yang terkaya di dunia.

Yayasan Saar milik beliau adalah sebuah organisasi amal yang terkenal di negara tersebut.

Keluarga Al-Rajhi dianggap sebagai salah satu daripada keluarga kaya yang BUKAN daripada keluarga diraja, dan mereka adalah antara dermawan terkemuka di dunia.

Walaupun Al-Rajhi adalah seorang jutawan, tetapi beliau memilih untuk menjadi ‘miskin’ sehinggakan beliau tidak mempunyai sebarang wang dan juga saham yang dimiliki beliau sebelum ini.

Keadaan tersebut terjadi apabila beliau memindahkan kesemua aset yang dimiliki kepada anak-anak beliau dan mendermakan aset-aset yang selebihnya.
 Bagi menghargai jasa beliau terhadap dunia Islam, termasuk mengasaskan bank Islam terbesar dunia dan juga segala usaha yang dijalankan untuk membasmi kemiskinan, Al-Rajhi telah dipilih untuk menerima Anugerah Antarabangsa Raja Faisal atas jasa beliau kepada Islam.

Dalam satu wawancara yang dibuat oleh Muhammad Al-Harbi dari Al-Eqtisadiah Business Daily, Al-Rajhi menceritakan tentang bagaimana beliau mampu meyakinkan ketua-ketua bank di dunia, termasuk Bank of England, hampir 30 tahun lalu, bahawa bayaran ‘faedah’ adalah sesuatu yang haram bagi kedua-dua agama iaitu Islam dan Kristian, dan bank secara Islam adalah penyelesaian yang terbaik bagi menaikkan taraf ekonomi dunia.

Kisah Al-Rajhi berkisarkan tentang bagaimana seseorang itu meraih kekayaan dari bawah.

Beliau terpaksa melalui kesusahan ketika beliau kecil sebelum menjadi kaya, dan kemudiannya meninggalkan segala harta yang ada setelah mengecapi kejayaan.

Al-Rajhi masih lagi aktif dalam bekerja walaupun usia beliau telah mencecah lebih daripada 80 tahun.

Beliau memulakan tugas harian sejurus selepas solat Subuh dan terus bekerja hingga selepas solat Isyak.

Beliau kini sedang memberikan tumpuan terhadap Yayasan SAAR, dengan berulang-alik di negara-negara Arab bagi menguruskan segala hal-hal yang berkaitan dengan yayasan tersebut.

Beliau sering membawa diari kecil untuk mencatatkan aktiviti harian beliau dan sentiasa memastikan tidak akan terlepas dari satu aktiviti pun.

Al-Rajhi juga merupakan seorang yang amat berjaya dalam apa jua bidang yang beliau ceburi.

Selain daripada mengusahakan bank Islam terbesar dunia, beliau juga telah mengasaskan ladang binatang ternakan yang terbesar di Timur Tengah.

Daripada segi perladangan, beliau telah menjalankan banyak eksperimen ternakan secara organik di negara-negara Arab, termasuk perladangan udang Al-Laith. Beliau juga turut mengasaskan perniagaan hartanah dan juga beberapa lagi pelaburan.

Temubual:

Sheikh Suleiman, adakah anda kini telah menjadi miskin semula?

Ya. Kini apa yang saya miliki hanyalah pakaian-pakaian saya. Saya telah membahagikan harta saya kepada anak-anak dan juga mendermakan selebihnya untuk menjalankan projek-projek amal. Ini bukanlah sesuatu yang aneh bagi saya. Kedudukan kewangan saya kini telah menjadi kosong sebanyak dua kali dalam hidup saya. Jadi, saya amat faham akan keadaan ini. Namun, kini perasaan itu dipenuhi dengan kegembiraan dan juga ketenangan. Sememangnya saya yang memilih untuk menjadi miskin.

Mengapa berbuat begitu?

Segala kekayaan dimiliki oleh Allah s.w.t, kita hanyalah ditugaskan untuk menjaga kekayaan tersebut. Ada beberapa sebab mengapa saya memilih untuk memilih jalan ini. Antara sebab-sebab utamanya adalah saya perlu menjaga sahabat-sahabat Islam dan juga anak-anak saya. Ia adalah antara perkara yang paling penting dalam hidup. Saya juga tidak suka untuk membuang masa di mahkamah hanya kerana ada antara mereka yang tidak bersetuju dengan jumlah harta yang diwariskan kepada mereka. Terdapat banyak contoh di mana anak-anak mula berpecah hanya kerana harta yang kemudiannya menghancurkan syarikat. Negara ini telah banyak kehilangan syarikat-syarikat besar kerana perbalahan harta yang boleh diselesaikan jika kita mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan. Selain daripada itu, setiap umat Islam perlu bersedekah sebagai bekalan pahala di akhirat kelak, Jadi, saya lebih suka jika anak-anak saya mencari kekayaan sendiri daripada bergantung dengan saya.

Adakah Sheikh mempunyai banyak masa terluang setelah membahagikan kesemua harta?

Seperti yang telah saya maklumkan tadi, saya masih lagi bekerja keras untuk mendapatkan lebih derma. Saya telah bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menjayakan projek ini. Secara kebiasaanya, umat Islam sering membahagikan satu per tiga ataupun suku daripada kekayaan mereka untuk bersedekah yang hanya akan diberikan setelah mereka meninggal dunia. Namun, bagi saya, saya mahu mula bersedekah ketika saya masih hidup. Jadi, saya telah membawa anak-anak saya ke Mekah pada hujung bulan Ramadhan dan memberitahu mereka idea saya. Mereka bersetuju terhadap idea tersebut. Saya telah meminta bantuan daripada agensi-agensi yang berkaitan untuk membahagikan kesemua harta saya termasuk saham dan juga hartanah kepada anak-anak dan juga untuk didermakan. Kesemua anak-anak saya berpuas hati terhadap inisiatif saya dan mereka kini sedang menguruskan segala harta yang saya berikan kepada mereka.

Berapa banyak harta yang dibahagikan kepada anak-anak dan juga untuk didermakan?
 Beliau tergelak tanpa memberi sebarang jawapan.

Apakah perasaan Sheikh terhadap kesemua projek yang sedang dijalankan?

Saya ingin menegaskan bahawa terdapat beberapa faktor yang saya ambil sebelum melakukan sebarang pelaburan. Eksperimen yang saya lakukan terhadap pertukaran wang adalah salah satu daripada sebab mengapa saya mengasaskan bank. Ketiadaan bank Islam juga menjadi antara sebab mengapa saya mula mengasaskan Bank Al-Rajhi, yang kini merupakan bank Islam terbesar di dunia. Saya mulakan eksperimen saya dengan membuka pejabat di Britain dimana kami mula memperkenalkan sistem perbankan Islam ke peringkat yang lebih besar. Eksperimen tersebut kemudiannya mula berkembang dan ia mula mendapat sokongan daripada ulama-ulama Saudi pada ketika itu. Saya masih ingat lagi bagaimana permohonan saya untuk mendapatkan lesen untuk membuka bank tidak diterima pada mulanya. Ini adalah kerana pihak British tidak memahami apa-apa pun tentang sistem perbankan Islam. Saya kemudiannya pergi ke London dan berjumpa dengan Pengurus Bank of England dan dua daripada pegawai kanan beliau. Saya memberitahu mereka bahawa penggunaan faedah adalah haram bagi Islam dan juga Kristian dan kebanyakan daripada mereka sanggup menyimpan wang mereka di dalam kotak di rumah daripada menyimpan di dalam bank. Saya cuba untuk meyakinkan mereka bahawa (jika mereka mula membuka bank Islam) ini mampu menaikkan taraf ekonomi dunia. Mereka akhirnya bersetuju untuk mula membuka bank-bank Islam. Saya kemudiannya mula mengembara ke serata dunia di bahagian Timur dan Barat, dan berjumpa dengan ketua-ketua bank negara di beberapa buah negara dan memberitahu mereka bagaimana ciri-ciri yang terdapat dalam dunia ekonomi Islam. Kami mula bekerja dan mencapai kejayaan di negara-negara Arab dan melaksanakan perbankan Islam di London, saya kemudiannya berjumpa dengan Mufti Besar Sheikh Abdul Aziz bin Baz dan Sheikh Abdullah bin Humaid, dan memberitahu mereka tentang rancangan saya bahawa : ‘Kita mampu, dengan izin Allah, memajukan perbankan Islam. Mereka memuji saya atas inisiatif yang saya jalankan. Dari situlah kami mula mengusahakan Bank Al-Rajhi seperti mana yang anda dapat lihat hari ini. Bagi projek Ladang Ternakan Al-Watania pula, saya mula mendapat inspirasi untuk menjalankan projek tersebut apabila melawat ladang ternakan di luar negara. Saya dapati bahawa cara mereka menyembelih adalah salah. Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk melabur dalam bidang ternakan atas nama Islam dan negara. Saya tetap menjalankan projek tersebut walaupun membuat pelaburan dalam industri ternakan adalah sesuatu yang agak berisiko pada masa tersebut. Kini, Al-Watania telah menjadi salah satu daripada projek mega di Saudi. Syarikat tersebut mendapat 40 peratus daripada saham di negara-negara Arab, dan ayam-ayam Al-Watania diberikan makanan yang cukup dan disembelih dengan cara yang halal menurut undang-undang syariah.

Walaupun dengan semua kekayaan yang dimiliki, mengapa syeikh tidak mempunyai satu pun kapal terbang sendiri?

Saya ada banyak kapal terbang, tetapi kesemuanya dimiliki oleh syarikat-syarikat penerbangan tertentu. Saya memilikinya setiap kali saya membayar tiket penerbangan untuk ke satu-satu destinasi (gurauan). Saya sering terbang dengan kadar kelas ekonomi kerana Allah tidak memberikan kita harta untuk ditunjuk-tunjuk.

Bagaimana pula dengan hobi syeikh?

Saya tidak mempunyai sebarang hobi yang khusus. Bagaimanapun, saya suka mengembara di padang pasir. Saya tidak pernah mengambil pakej percutian di negara-negara lain selain dari Saudi.

Ketepatan masa Al-Rajhi

Wawancara ini telah menunjukkan bagaimana disiplin Al-Rajhi dalam menepati masa. “Pada awal karier saya dalam industri, saya mempunyai beberapa perjumpaan dengan beberapa syarikat besar di Eropah. Saya masih ingat lagi kisah dimana saya terlambat selama beberapa minit dalam satu perjumpaan dengan salah seorang pegawai besar sebuah syarikat. Walaupun hanya beberapa minit, beliau tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut. Selepas kejadian tersebut, setelah projek kami mula berkembang, pegawai yang sama pula lambat untuk berjumpa dengan saya, jadi, saya pula yang tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut. Saya sering membawa kertas untuk menulis segala perjumpaan dan urusan dan sentiasa memastikan agar saya sering menepati masa walau apa pun.”

Al-Rajhi berkata lagi: Saya amat menepati segala perkara yang diterapkan dalam Islam sepanjang hidup saya. Saya pernah mendapat undangan daripada kerajaan Arab untuk menghadiri satu persidangan yang berkaitan dengan pelaburan. Kemudiannya, dalam persidangan yang sama, saya dijemput untuk mengambil bahagian dalam majlis makan malam mereka, saya dapati bahawa antara aktiviti yang dijalankan ketika majlis tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Saya kemudiannya keluar dari majlis makan malam tersebut. Kemudian, Abdul Aziz Al-Ghorair dari UAE turut serta bersama saya. Tidak lama selepas itu, menteri yang bertanggungjawab terhadap persidangan tersebut datang kepada kami dan kami mula menerangkan kepada beliau bahawa aktiviti yang dijalankan di majlis tersebut adalah bertentangan dengan budaya Islam. Beliau kemudiannya berkata bahawa aktiviti-aktiviti di majlis tersebut akan dibatalkan. Apabila mereka membatalkan aktiviti tersebut, kami kembali menyertai majlis tersebut.

Penyelesaian Masalah

Al-Rajhi berkata: Pada satu masa, salah satu daripada kilang yang diuruskan oleh anak saya habis dijilat api. Apabila dia datang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada saya, saya memberitahu: Sebut Alhamdulillah. Saya meminta anak saya supaya tidak membuat sebarang laporan tentang kerugian yang dialami bagi meminta pampasan daripada pihak berkuasa. Sebaliknya, pampasan yang diberikan oleh Allah adalah lebih penting bagi kita. Assam Al-Hodaithy, Pengurus Kewangan bagi syarikat Ternakan Al-Watania berkata: “Apabila kilang tersebut terbakar, kami telah membuat keputusan untuk tidak menyakiti hati Al-Rajhi dengan memberitahu beliau tentang apa yang terjadi. Kami kemudiannya berjumpa dengan beliau keesokan harinya dan memberitahu akan perkara yang terjadi, beliau mengarahkan kami untuk berpindah ke tempat lain dan membersihkan segala kerosakan sehingga semuanya dibaiki.” Perkara yang sama terjadi di satu lagi projek Al-Watania di Mesir. Syarikat tersebut kerugian kira-kira SR10 juta Pound Mesir. Apabila pegawai projek tersebut menghubungi Al-Rajhi untuk memberitahu perkara tersebut, beliau terkejut apabila Al-Rajhi menjawab dengan menyebut: “Alhamdulillah.”

KISAH ABU YAZID AL BUSTAMI DAN PADERI GEREJA SAMAAN

“Abu Yazid Al Bustami merupakan seorang ahli Sufi yang dikejutkan oleh mimpinya supaya pergi ke gereja Samaan. Tiga kali mimpinya itu berulang. Lalu ia bersiap dengan pakaian dan cara yang diberitahu dalam mimpinya.

Ia masuk ke gereja Samaan tanpa diketahui oleh Paderi-paderi yang hadir. Dia bersama-sama paderi lain menanti kedatangan ketua Paderi. Setelah ketua Paderi datang, ketua Paderi itu tidak dapat berucap.

Dia tahu ada orang lain, orang Islam di dalam gereja itu. Katanya, ” ada orang yang percaya kepada Syariat Muhammad di dalam gereja ini.”

Semua paderi menjadi gempar dan mereka menghendaki orang itu di bunuh. Namun ketua paderi mencegahnya, sebaliknya ketua paderi meminta orang itu bangun supaya mereka dapat mengenalinya. Abu Yazid Al-Bustami pun bangun, tanpa rasa takut.

Menjawab 50 pertanyaan bertanya 1 pertanyaan.

Ketua paderi berkata, “Wahai pengikut Muhammad, saya akan mengajukan pertanyaan kepada kamu. Jika kamu dapat menjawab semuanya dengan benar, maka saya akan mengikuti agama kamu. Namun jika kamu tidak dapat menjawabnya, maka kami akan membunuhmu.”

Jawab Abu Yazid, “Baiklah! Tanyakan apa saja yang kamu ingin tanyakan.”

Ketua paderi itu mengemukakan 50 pertanyaan bertubi-tubi dan kemudian Abu Yazid menjawabnya dengan tepat.

Kata Abu Yazid, “Saya sudah jawab semua pertanyaan tuan. Sekarang apakah ada lagi pertanyaan-pertanyaan yang lain?”

Semua pendeta menjawab, “tidak ada lagi,”

Kemudian Abu Yazid mengemukakan pertanyaan kepada mereka. “Beritahu saya kunci Syurga dan Neraka langit.”

Tidak seorang pun yang dapat menjawabnya dan mereka mengaku bahawa memang mereka tidak tahu jawabannya. Baru satu pertanyaan sudah tidak dapat dijawab sedangkan Abu Yazid telah menjawab berpuluh pertanyaan. Merekameminta ketua paderi menjawab, namun ia membisu.

Katanya, “Bukan saya tidak mau menjawab, tetapi saya takut kamu semuatidak sependapat.” Mereka hairan mendengar kata-kata ketua paderi itu. Akhirnya mereka mendesak juga dan bersedia untuk menyetujui serta menerima kata-kata ketua mereka.

Kemudian ketua Paderi menjawab “Bahwa kunci Syurga dan Kunci langit itu tidak lain ialah “LAILA HAILLALLAH HU MUHAMMAD DARASULULLAH.” Tegas ketua paderi.

Mereka semua tersentak, terdiam. Lalu Abu Yazid berkata, “Memang benar kata ketua kamu ini.” Semua paderi memeluk Islam, Abu Yazid menuntut janji kepada ketua paderi dan persetujuan pengikut-pengikutnya.

“Sahabat-sahabat sekalian percayalah bahawa apa yang saya ceritakan ini adalah benar. Saya tidak dipaksa oleh siapapun dalam mengucapnya. Memang sudah lama saya fikirkan hendak menyampaikan masalah ini kepada sahabat-sahabat semua, tetapi saya bimbang sahabat-sahabat tidak akan percaya kepada saya lagi. Saya hanya menunggu waktu.”

“Dari mana tuan mengetahui perkara ini?” Tanya salah seorang paderi.

“Dari ketua sebelum saya.” Jelas ketua paderi.

“Sebelum ketua itu meninggal dunia dia telah bersumpah bahwa perkara yang dikatakan itu adalah benar.” Sambung ketua paderi itu.

“Kalau begitu, apa lagi yang kita tunggu!” Ketua paderi dan pengikut-pengikutnya semuanya memeluk Islam disebabkan oleh Abu Yazid. Ilmu Abu Yazid telah menyelamatkan daripada maut. Ilmu ketua paderi telah menyelamatkan daripada kesesatan dan ilmu kedua-duanya telah menutup tabir kejahilan dan menyingkap tabir kebenaran dan Islam!

Berikut ini Pertanyaan Ketua Paderi. Dan Jawaban Abu Yazid Al-Bustami

1. Yang satu tidak ada duanya.
Kewujudan Allah Maha Esa. Dia Tuhan yang tunggal tiada sekutu bagiNya.

2. Yang dua tiada tiganya.
Malam dan siang. Apabila pergi malam datanglah siang dan apabila pergi siang datanglah malam.

3. Yang tiga tiada empatnya.
Kursi, Kalam dan Arash Allah Hu Subhanahu Wa Ta’ala.

4. Yang empat tiada limanya.
Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.

5. Yang lima tiada enamnya.
Islam telah memfardhukan solat lima waktu : Zohor, Asar, Maghrib, Ishak dan Subuh.

6. Yang enam tiada tujuhnya.
Hari-hari Allah telah menciptakan langit dan bumi. Ini semua tersebut di dalam Kitab-kitab suci juga.

7. Yang tujuh tiada lapannya.
Tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi yang disebut di dalam Kitab Suci juga.

8. Yang lapan tiada sembilannya.
Bilangan Malaikat yang memikul Arash Allah Taala yang disebutkan di dalam Kitab Suci (ertinya) : Dan akan memikul Arash Tuhan kamu pada hari (Kiamat) itu adalah lapan Malaikat.

9. Yang sembilan tiada sepuluh.
Bilangan kaum daripada golongan manusia yang menjadi kerosakan bumi Allah, sebagaimana yang tersebut di dalam Kitab Suci (ertinya) : Di dalam kota itu dahulu terdapat sembilan kumpulan yang menjadi perosak bumi, mereka tidak pernah melakukan yang baik.

10. Sepuluh yang sempurna.
Kewajipan puasa sepuluh hari ke atas orang yang berihram haji sebagaimana firman Allah Taala (ertinya): Maka hendaklah ia (orang yang berihram haji) berpuasa tiga hari semasa haji dan tujuh hari setelah balik ke negerinya. Itulah dia sepuluh yang sempurna.

11. Yang sebelas.
Saudara-saudara Nabi Yusof AS.

12. Yang dua belas.
Bilangan bulan dalam setahun.

13. Yang tiga belas.
Mimpi Nabi Yusof AS yang tersebut di dalam Kitab Suci: Sesungguhnya Aku melihat sebelas bintang, matahari dan bulan. Jumlahnya tiga belas.

14. Orang yang berdusta,kemudian dapat masuk Syurga.
Mereka ialah saudara-saudara Nabi Yusof AS. Mereka memberitahu ayah mereka Nabi Yaakob AS bahawa Yusof telah di makan serigala. Mereka membawa pakaiannya yang dilumur dengan darah kambing. Perkara yang mereka lakukan itu adalah suatu dusta.

15. Orang yang benar, tetapi mereka dimasukkan ke dalam neraka.
Mereka ialah kaum Yahudi dan Nasrani, sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya) : Telah berkata Kaum Yahudi, kaum Nasrani itu tidak benar dan berkata kaum Nasrani pula kaum Yahudi itu tidak benar. Kedua-dua kaum itu berkata benar pada tuduhan mereka antara satu dengan lain, namun mereka tidak mahu tunduk kepada kebenaran yang ada di hadapan mereka iaitu mempercayai agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sebagai agama yang sebelumnya. Lantaran itu mereka menduduki neraka.

16. Tempat roh dalam badan manusia.
Roh berada di dalam tubuh badan manusia yang hanya diketahui hakikatnya oleh Allah Taala kerana roh adalah merupakan urusan Allah Taala jua, berdasarkan firmannya (ertinya) : Katakan roh itu dari perkara urusan Tuhanku.

17. Al Zariyati Zarwa.
Nama empat macam angin.

18. Al Hamilati Wakra.
Awan gemawan di dada langit.

19. Al Jariyati Yusra.
Perahu-perahu yang belayar di laut.

20. Al Mukassimati Amra.
Malaikat-malaikat yang bertugas membahagi-bahagikan rezeki kepada manusia pada malam Nisfu Syaaban.

21. Yang empat belas.
Tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi yang sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya) : Maka Allah berfirman kepadanya iaitu kepada tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi, datanglah kepada aku secara patuh terhadap perintahKu ataupun secara terpaksa. Maka berkata kedua-dua langit dan bumi, “kami akan datang kepadaMu secara patuh dan taat.”

22. Kubur yang berjalan dengan penghuninya.
Ikan besar yang menelan Nabi Yunus AS. Nabi Yunus AS di bawa oleh ikan ke mana-mana sahaja yang akhirnya dimuntahkan di pantai dengan izin Allah Taala.

23. Yang bernafas, tetapi tidak mempunyai roh.
Waktu subuh seperti firman Allah Taala (ertinya) : Demi subuh apabila ia terlepas.

24. Air yang tidak turun dari langit dan tidak keluar dari bumi.
Air yang dikirim oleh ratu Balqis kepada Nabi Sulaiman AS di dalam botol iaitu air peluh kuda.

25. Empat yang bukan daripada golongan manusia, Malaikat dan bukan daripada punggung lelaki dan daripada perempuan.
Kibas yang di bawa Jibril AS sebagai korban ganti Nabi Ismail AS, unta Nabi Salleh AS yang disembelih kaumnya, untuk Nabi Adam dan Siti Hawa AS.

26. Satu ciptaan Allah, lalu diingkarinya sebagai satu yang buruk.
Suara keldai yang tidak sedap didengar, sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya) : Sesungguhnya suara yang paling buruk ialah suara keldai.

27. Darah yang mula-mula mengalir ke bumi.
Darah Habil yang dibunuh oleh saudaranya Kabil.

28. Sesuatu ciptaan Allah, lalu diangkat sesuatu yang berat.
Helah kaum wanita, seperti firman Allah Taala (ertinya) : Sesungguhnya tipu helah wanita adalah suatu tipu helah besar atau berat.

29. Pada mulanya sebatang kayu kemudian menjadi roh.
Tongkat Nabi Musa AS.

30. Wanita yang paling utama.
Hawa, ibu sekalian manusia, kemudian Khatijah dan Aisyah, Asiah (isteri Firaun) dan Maryam Binti Imran.

31. Gunung yang paling utama.
Gunung Tursina.

32. Binatang yang paling utama.
Kuda.

33. Bulan yang paling utama.
Bulan Ramadhan.

34. Malam yang paling utama.
Lailatul Qadar.

35. Tentang Atta’mah.
Hari Kiamat.

36. Pohon yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting ada 30 daun, setiap daun ada lima kembang, dua bunga di matahari dan tiga bunga di tepi kegelapan.
Pohon itu “tahun” yang padanya ada 12 bulan, satu bulan ada 30 hari. Lima itu ialah lima waktu solat.

37. Satu benda yang pergi haji dan tawaf di Baitullah, tetapi tidak mempunyai roh dan tidak wajib haji.
Bahtera Nabi Noh Alaihissalam.

38. Empat jenis air yang lain rupanya dan rasanya, tetapi sumbernya satu.
Air mata, air telinga, air hidung dan air mulut. Air mata masin, air telinga pahit, air hidung masin dan air mulut tawar.

39. Nakir, fatil dan kitmir.
Nakir ialah titik yang terdapat pada kulit luar benih, fatil ialah titik yang terdapat di dalam benih dan kitmir ialah kulit yang membaluti benih.

40. Sabid dan Labad.
Bulu kambing biri-biri dan kambing kasi.

41. Sam dan Ram.
Makhluk yang telah ada sebelum wujud Nabi Adam AS.

42. Maksud keldai Makwak.
Keldai Makwak tanda ia melihat syaitan, lalu ia berkata: Allah melaknatnya.

43. Maksud anjing menyalak.
Anjing menyalak bermaksud : Awas! Celaka bagi penghuni-penghuni neraka dari kemurkaan Allah yang maha berkuasa.

44. Maksud jeritan kuda.
Kuda menjerit bermaksud : Maha suci Allah yang memeliharaku ketika tentera berpadu menyerang musuh dengan penuh semangat.

45. Maksud jeritan unta.
Unta menjerit membawa maksud : Hasbiyallahu Wakafa Billahi Wakila (ertinya): Memadailah Allah bagiku dan cukuplah Dia tempat aku menyerahkan diriku.

46. Maksud nyanyian burung Bulbul.
Nyanyian Bulbul bermaksud : Maha suci Allah pada waktu pagi dan pada waktu petang.

47. Maksud bunyi katak.
Bunyi katak bermaksud : Maha suci Tuhan yang di sembah di mana-mana sahaja ada makhlukNya dan di tempat-tempat yang tiada penghuninya.

48. Maksud kata-kata burung Nakus.
Maksud kata-katanya : Maha suci Allah sungguh-sungguh! Wahai anak Adam! Lihatlah di barat dan di timur di dunia itu, adakah makhluk yang menongkat langit?

49. Kaum daripada makhluk Allah yang diutus kepadanya, namun ia bukan dari kumpulan jin, manusia dan Malaikat.
Makhluk itu adalah lebih seperti firman Allah Taala (ertinya): Dan Tuhan kamu telah mewahyukan kepada lebih.

50. Di mana malam ketika siang dan di mana siang ketika malam.
Kedua-duanya berada di dalam ilmu Allah Taala yang amat sulit

Wednesday 27 June 2012

Jangan Merajuk Wahai Dai'e

Hidup ini menuntut mujahadah berterusan, setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu diusahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena, sehinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai muharrik. Mereka yang berada di dalam kategori tersebut mesti lebih lagi menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa.

Begitupun hal itu pasti tidak akan dapat dielakkan, usah kita lupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal waktu bersungguh dan berakhir dengan waktu lelah. Jika kita terkandas memandu keghairahan semangat dan azam, kita akan kecewa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Tetapi ingatlah, tidak pernah susah bermakna tidak sempurna, tidak pernah merasa payah bermakna tidak normal. Allah memberikan amanah mengikut kesanggupan hambaNya, natijahnya pula di bawah takdirNya. Bak bidalan, ‘menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi’.

Lalu di saat hati sedang kabur, lemah dan gelisah, carilah hikmah apapun yang ditenun di dalam lembar Al Quran. Rupa-rupanya kisah Nabi Yunus A.S yang jarang dijadikan bahan sebutan, memberi seribu pengertian dalam kehidupan seorang da’ie.

Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia

Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina
Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati
Ke tepi pantai seorang diri

Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam ditengah lautan

Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora
Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira

Sedarlah Baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya

Inilah Dai’e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan dirii. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana setiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman”Surah Ali ‘Imran:139, Al Quranul Karim

Apa Yang Rasulullah Ajar Tentang Diam

Bicara dan diam laksana dua sisi dari sekeping mata wang, yang tidak mungkin dipisahkan. Kedua-duanya adalah nikmat Allah yang amat besar yang diberikan kepada umat manusia. Dengan berbicara, manusia boleh berinteraksi sesama mereka dan menjadi makhluk yang termulia di antara makhluk-makhluk Allah yang lainnya.
Oleh kerana itu, secara jelas Allah Taala berfirman di dalam al Quran :



"(Allah) Mengajarkannnya (kepada manusia) pandai menerangkan (berbicara)" - Surah ar Rahman:4

Dari Abu Hurairah R.A, sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya". [Sahih Bukhari]

Kalimah, "...Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat", maksudnya adalah sesiapa beriman dengan keimanan yang sempurna, yang (keimanannya itu) menyelamatkannya dari azab Allah dan membawanya mendapatkan redha Allah, "...Maka hendaklah ia berkata baik atau diam" kerana orang yang beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya tentu takut kepada ancamanNya, mengharapkan pahalaNya, bersungguh-sungguh melaksanakan perintah dan meninggalkan laranganNya. Dan yang terpenting dari semuanya itu ialah mengendalikan gerak-geri seluruh anggota badannya kerana kelak dia akan dipertanggungjawabkan atas perbuatan semua anggota badannya, sebagaimana tersebut pada firman Allah :

"Dan janganlah kamu menurut sesuatu yang tiada dalam pengetahuan (ilmu). Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati semuanya kelak pasti akan dimintai tanggung jawabnya" - Surah al Isra':36

Dan firmanNya lagi :

"Apapun kata yang terucap pasti disaksikan oleh Raqib dan ‘Atid". Surah Qaff:18

Bahaya lisan itu sangat banyak. Rasulullah S.A.W bersabda, "Bukankah manusia terjerumus ke dalam neraka karena tidak dapat mengendalikan lidahnya" [Sunan Abi Daud].

Baginda turut bersabda, "Tiap-tiap ucapan anak Adam menjadi tanggung jawabnya, kecuali menyebut nama Allah, menyuruh berbuat makruf dan mencegah kemungkaran" [Sunan Ibnu Majah].

Apabila Nabi S.A.W bersabda, "...Maka hendaklah ia berkata baik atau diam", ia menunjukkan bahawa perkatan yang baik itu lebih utama daripada diam, dan diam itu lebih utama daripada berkata buruk. Berkata baik dalam hadis ini mencakup menyampaikan ajaran Allah dan RasulNya dan memberikan pengajaran kepada kaum Muslimin, amar makruf dan nahi mungkar berdasarkan ilmu, mendamaikan orang yang berselisih pendapat, berkata yang baik kepada orang lain. Dan yang terbaik dari semuanya itu adalah menyampaikan perkataan yang benar di hadapan orang yang ditakuti kekejamannya atau diharapkan pemberiannya.

Islam menjelaskan bagaimana seharusnya memanfaatkan kedua nikmat yang amat besar itu, iaitu bercakap dan diam, agar manusia benar-benar mampu memanfaatkan untuk berbicara sehari-hari sehingga ia menjadi jalan kebaikan bagi penuturnya. Dan kalau tidak mampu, maka lebih baik diam. Dan bagi yang mampu untuk diam pula, tetapi menolak untuk mengucapkan kebenaran, ia adalah "syaitan" yang bisu - as saakitu anil haq syaitonul akhras. Kerana itu, diam juga boleh memberikan kesan sampingan yang bermacam-macam dan nilai impaknya. Ada yang dengan diam ia menjadi emas, tetapi ada pula dengan diam ia menjadi masalah. Semua bergantung kepada niat cara situasi juga kondisi pada diri dan lingkungannya.

Untuk mencapai kebaikan Islam, seseorang tidak cukup dengan diamnya lisan, dan anggota tubuh yang lain dari hal-hal yang dilarang oleh Allah Taala. Namun, ia harus juga diam dan meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat baginya. Dan juga bagi agamanya Islam. Rasulullah S.A.W bersabda, "Di antara kebaikan Islam seseorang itu iaitu meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat baginya". [Sunan Tirmizi]

Kalau seseorang sudah mampu untuk memilih hanya yang bermanfaat baginya, bagi keluarga, agama, dan masyarakatnya, dan mampu juga untuk diam meninggalkan ucapan yang tidak bermanfaat, ia sudah selamat dari kejahatan dan bala` yang besar. Dan keselamatan dari kejahatan itu bererti prestasi besar dalam meraih kebaikan yang sangat besar. Ini kerana manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain akan menyebabkan kita terseksa kekal abadi di dalam neraka.

Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah. Oleh itu, diam adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia. Misalnya, berkata-kata dan kemampuan berbicara di depan khalayak umum menjadi sebuah keperluan kerana kita memiliki fungsi sebagai makhluk sosial dengan kebiasaan berinteraksi antara mereka. Untuk kepentingan itu, berkata-kata adalah sebuah jalan sikap yang harus diambil. Lalu bagaimana dengan diam?

Sama halnya, diam memiliki faedah dan syarat kondisionalnya tersendiri. Yang penting adalah kita mengetahui waktu-waktu yang tepat untuk mengambil diam sebagai sikap ketika berinteraksi dengan orang lain. Diam bahkan boleh menjadi kebiasaan efektif yang bila diterapkan dalam diri, ia akan membuat kita menjadi lebih produktif. Iaitu dengan membiasakan diam dan mendengar daripada berbicara dengan memperbanyakkan kerja.

Hikmah Yang Terkandung Pada Perbuatan Diam
  1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
  2. Menjadi perhiasan tanpa berhias.
  3. Memiliki kehebatan tanpa kerajaan.
  4. Membina benteng tanpa pagar.
  5. Mempunyai kekayaan budi tanpa meminta maaf kepada orang.
  6. Memberi istirehat bagi kedua Malaikat pencatat amal.
  7. Menutupi segala aib dan masalah.
Antara hadis mengenai kelebihan diam bermaksud, "Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya". [Riwayat Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya']
Bersikap diam juga suatu kebijaksanaan dan keadilan, ilmu dan pengetahuan bahkan ada yang menyebutnya merupakan media pendidikan yang sangat bagus dan telah teruji. Rasulullah S.A.W pernah menasihati Abu Zar R.A, "Hendaknya engkau lebih baik diam, sebab diam itu menyingkirkan syaitan dan penolong bagimu dalam urusan agamamu". [Musnad Imam Ahmad]
Manakala nasihat Amirul Mukminin Umar bin Khattab berbunyi :
  • "Barangsiapa yang banyak ketawa, maka akan sedikit sekali wibawanya"
  • "Barangsiapa yang suka senda gurau, maka dia akan dianggap remeh"
  • "Barangsiapa yang bersikap melampau (berlebih-lebih), maka akan jatuh jatidirinya"
  • "Barangsiapa yang banyak cakap, maka dia akan banyak salah"
  • "Barangsiapa yang banyak salah, maka akan hilang rasa malunya"
  • "Barangsiapa yang hilang rasa malunya, maka kurang sikap wara'-nya (sikap berhati-hati dari perkara dosa)"
  • "Barangsiapa yang sedikit rasa berhati-hati dari perkara dosa, maka akan mati hatinya" [Hilyatul Auliya']
Semoga Allah merahmati Khalifah Umar bin Abdul Aziz, ketika beliau berkata, "Sesungguhnya orang-orang yang terdahulu (Salafus Soleh) itu berhenti (tidak bersikap melampau) di atas dasar ilmu dengan penelitian yang tajam (menembus), lalu adakalanya mereka menahan dirinya (dari meneruskan sesuatu perbahasan) sekalipun mereka lebih mampu dalam membahas sesuatu perkara jika mereka ingin membahasnya" [Bayan Fadhli Ilmi Salaf]
Diam Juga Boleh Mengundang Fasad
Tedapat dalam sebuah hadis yang masyhur berbunyi, "Barangsiapa melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dan mencegahnya dengan menggunakan tangannya (kuasa), sekiranya ia tidak mampu maka hendaklah ia menggunakan mulutnya, sekiranya ia tidak mampu juga maka hendaklah ia menggubah dengan menggunakan hatinya. Sesungguhnya mengubah dan mencegah perbuatan mungkar dengan menggunakan hati itu adalah tanda selemah-lemah iman". [Sahih Muslim]

Justeru, tidak mengubah dan mencegah sesuatu kemungkaran adalah tanda tiada iman atau hampir kepada kekufuran. Jika dilihat daripada hadis yang disebut di atas, Nabi Muhammad S.A.W menggunakan pendekatan yang sangat berhemah dalam mengkategorikan seseorang Muslim itu kepada tiga peringkat. Bagaimanapun, selalu sangat disalah-tafsirkan kategori yang terakhir itu sebagai diam. Maka mengatakan kategori yang terakhir dalam melunaskan kerja untuk mencegah kemungkaran sebagai diam adalah suatu kesilapan, kerana diam bukan tanda beriman dan bukan pula tanda kekufuran. Dalam bahasa lain diam tidak boleh dijadikan ukuran salah atau betul, beriman atau kafirnya seseorang.

Semua bentuk pendakwaan atau tuduhan pada asasnya mestilah disaksikan, yakni dibuktikan melalui penyaksian, melihat, mendengar atau merasa. Ini sesuai dengan asas undang-undang bahawa beban pembuktian itu berada di atas bahu yang mendakwa atau yang membuat tuduhan dengan saksi-saksi dan penyaksian serta bukti yang sah sebelum ia berpindah kepada pihak yang dituduh.

Dalam satu hadis yang turut dijadikan kaedah feqah dalam hal pembuktian, berbunyi, "(Beban pembuktian dengan) penyaksian (dan lain-lainnya) adalah di atas mereka yang mendakwa (yakni orang yang membuat tuduhan). (Hanya selepas ia dibuktikan maka dikehendaki memberikan) penjelasan (dan bukti-bukti sebagai jawapan) adalah di atas mereka yang mengingkarinya (sama ada yang tertuduh atau selainnya)".

Dalam kes-kes berkaitan zina dan liwat yang menjadi isu semasa pada hari ini, perlulah diingat bahawa undang-undang Islam jelas menekankan bahawa beban pembuktian adalah di atas mereka yang membuat tuduhan dan dakwaan mengenainya yakni mereka mesti mendatangkan empat (4) orang saksi. Sekiranya mereka gagal mendatangkan dengan bilangan saksi tersebut, maka wajiblah mereka dikenakan hukuman qazaf sesuai dengan ketetapan Islam dalam undang-undang hudud.

Dalam hal ini tertuduh tidak perlu menjawab apatah lagi membuktikan apa-apa sehinggalah empat orang saksi dikemukakan oleh yang membuat dakwaan atau tuduhan. Adalah menjadi prinsip bahawa Islam mengiktiraf bahawa yang tertuduh adalah suci dan bersih daripada sebarang dakwaan dan tuduhan melainkan setelah dakwaan dan tuduhan berjaya dibuktikan tanpa ada keraguan yang munasabah. Bahkan ini juga adalah prinsip undang-undang lazim (common law) yang sedia terpakai di negara kita.

Tiada satu peruntukan baik dalam Islam mahupun undang-undang lazim yang memberikan satu dalil mahupun isyarat membolehkan orang yang tertuduh dianiayai atau dizalimi dengan sebarang bentuk prasangka atau layanan buruk hanya dengan sebab dia diam atau enggan memberikan kerjasama menjawab sebarang pertuduhan dan dakwaan sebelum penuduh atau pendakwa membuktikan kesnya terlebih dahulu. Bahkan mereka yang menyebarkan pertuduhan dan dakwaan sebegitu yakni tanpa ia dibuktikan, boleh dikenakan tindakan undang-undang baik tindakan secara tangkapan polis, injunksi mahupun tindakan defamasi sesuai dengan ketetapan undang-undang lazim.

Mendengar & Melaksanakan Apa Yang Baik Itu Lebih Utama

Pada umumnya, orang yang banyak berbicara (berkata-kata) adalah orang yang lemah keperibadiannya. Ciri orang intelek menurut Islam yang disebutkan al Quran adalah orang yang mendengarkan perkataan orang lain, "allaziina yastami’unal qaul..." dan mengikuti yang baik dari perkataan itu, "fa yattabi'una ahsanah...".

Pada umumnya juga, orang pandai yang suka mendengarkan orang lain akan disukai. Sebahagian manusia lebih gemar untuk perkataannya didengar, diambil peduli daripada dia mendengar bicara orang lain. Ada orang yang mempunyai kebiasaan berbicara dahulu, baru berfikir. Kerana itu, diam menunjukkan kekuatan keperibadian seseorang. Kemampuan mendengarkan adalah kekuatan keperibadian yang luar biasa besarnya.

Jika ingin berbicara, sebaiknya kita harus benar-benar yakin bahawa apa yang akan disampaikan adalah sesuatu yang sudah difikirkan. Kurangilah perkataan-perkataan yang muncul secara refleks. Biasakanlah diam atau merenung, maka kita akan menjadi produktif dalam hidup. Diam bukan dalam erti kita sama sekali tidak berbicara, melainkan diam dalam erti hanya berbicara jika ada keperluan untuk itu. Ada mekanisme lain juga yang telah ditunjukkan di dalam al Quran :

"Dan apabila sewaktu pembahagian (hak) itu hadir beberapa kerabat, anak-anak yatim dan orang miskin, maka berilah mereka dari harta itu (sekadarnya) dan ucapkanlah perkataan yang baik" - Surah an Nisa':8
"Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran)" - Surah an Nisa':9

"Mereka itu adalah orang-orang yang (sesungguhnya) Allah mengetahui apa yang ada di dalam hatinya. Kerana itu berpalinglah dari mereka, dan berilah mereka nasihat, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang membekas pada jiwanya" - Surah an Nisa':63
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)" - Surah Isra':23
"Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati" - Surah Isra':28

"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai" - Surah Luqman:19
Al Quran menunjukkan kepada kita tentang pilihan dalam berbicara, qaulan ma'rufan, qaulan kariman, qaulan maysuran, qaulan sadidan dan qaulan balighan, yakni pembicaraan yang disertakan perkataan yang baik. Dan mekanisme mana lagi yang lebih baik dibandingkan dengan anjuran yang difirmankan olehNya?