Sabda Rasulullah SAW:
Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka
dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia
kehendaki dengan tidak dihisab.
Ketika kita menempuh
bahtera rumah tangga, ketika kita sedang menjalankan perintah Allah dan
Rasul-Nya, kita dianjurkan untuk melihat kembali kecintaan kita kepada keluarga
Nabi. Dalam memperkuat kecintaan kita kepada keluarga Nabi di dalam mengayuh
bahtera keluarga, kita diwajibkan meneladani perilaku kehidupan keluarga
Rasulullah, baik perilaku terhadap isteri mahupun anak.
Dalam menggauli dan
memperlakukan isteri-isteri Baginda, Rasulullah s.a.w. senantiasa menghormati
dan menjaga perasaan isteri-isterinya melebihi suami-suami yang lainnya. Satu
saat ketika Rasulullah hendak melaksanakan solat malam, beliau dekati isterinya
Aisyah sampai Aisyah berkata: Di tengah malam beliau mendekatiku dan ketika
kulitnya bersentuhan dengan kulitku beliau berbisik, “Wahai Aisyah, izinkan aku
untuk beribadah kepada Tuhanku.”
Kita bayangkan betapa besar
penghormatan Rasulullah kepada isterinya sampai ketika beliau hendak melakukan
solat malam, beliau terlebih dahulu meminta izin kepada isterinya pada tengah
malam, di saat isterinya memerlukannya. Pada izin Rasulullah itulah tergambar
kecintaan dan penghormatan terhadap isterinya.
Nabi adalah seorang yang
sangat sabar dalam memperlakukan isterinya. Hal ini terlihat ketika suatu hari
ada salah seorang isterinya datang dengan membawa makanan untuk dikirim kepada
Rasulullah yang sedang tinggal di rumah Aisyah. Aisyah dengan sengaja
menjatuhkan kiriman makanan itu hingga piringnya pecah dan makanannya jatuh
berderai. Rasulullah hanya mengatakan, “Wahai Aisyah, kifaratnya adalah
mengganti makanan itu dengan makanan yang sama.”
Rasulullah mengecam
suami-suami yang suka memukuli isteri-isterinya sampai Rasulullah berkata, “Aku
hairan melihat suami-suami yang menyeksa isterinya padahal dia lebih patut
disiksa oleh Allah SWT.”
Nabi pun mengecam
suami-suami yang menghinakan isteri-isterinya, tidak menghargainya, tidak
mengajaknya bicara, dan tidak mempertimbangkan isterinya dalam mengambil
keputusan. Nabi bersabda, “Tidak akan pernah memuliakan isteri kecuali lelaki
yang mulia dan tidak akan pernah menghinakan isteri kecuali lelaki yang hina.”
Kerana itu marilah kita berusaha menjadi suami yang mulia yang menempatkan
isteri pada tempat yang mulia.
Kemesraan pasangan adalah
penting untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga dan Rasulullah s.a.w. telah
mencontohkan kemesraan tersebut dengan isteri-isteri baginda.
Tidur dalam satu selimut bersama isteri
Dari Atha’ bin Yasar:
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. dan Aisyah r.a. biasa mandi bersama dalam satu
bejana. Ketika baginda sedang berada dalam satu selimut dengan Aisyah,
tiba-tiba Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya, “Mengapa engkau bangkit?”
Jawab Aisyah, “kerana saya haid, wahai Rasulullah.” Sabda Rasulullah, “Kalau
begitu, pergilah, lalu berkainlah dan dekatlah kembali padaku.” Aku pun masuk,
lalu berselimut bersama beliau.” (Hadis Riwayat Sa’id bin Manshur)
Memberi wangi-wangian pada aurat
Aisyah berkata,
“sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyaki badannya, baginda akan memulai
daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri baginda
meminyaki bahagian lain tubuh Rasulullah s.a.w. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Meminta isteri meminyaki badan
Dari Aisyah r.a, beliau
berkata, “Saya meminyaki badan Rasulullah s.a.w. pada hari Raya ‘Aidil Adha’
setelah beliau melakukan jumrah aqabah.” (Hadis Riwayat Ibnu ‘Asakir)
Mandi bersama isteri
Dari Aisyah r.a. beliau
berkata, “Aku biasa mandi bersama Nabi s.a.w. menggunakan satu bejana. Kami
biasa bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bejana tersebut).” (Hadis
riwayat Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)
Disikatkan oleh isteri
Dari Aisyah r.a, beliau
berkata, “Saya biasa menyikat rambut Rasulullah s.a.w, ketika itu saya sedang
haid.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Rasulullah S.A.W. bersabda
bermaksud: Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya lebih baik dari
isteri itu mengerjakan haji dan umrah.
Minum bergantian pada tempat yang sama
Daripada Aisyah r.a., dia
berkata: “Saya biasa minum dari cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi
mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan
mulut, lalu Baginda minum, kemudian saya mengambil cawan tersebut dan lalu menghirup
isinya, kemudian Baginda mengambilnya dari saya, lalu Baginda meletakkan
mulutnya pada tempat saya letakkan mulut saya, lalu Baginda pun menghirupnya. ”
(Hadis Riwayat Abdurrazaq dan Said bin Manshur).
Membelai isteri
“Adalah Rasulullah s.a.w.
tidaklah setiap hari melainkan beliau mesti mengelilingi kami semua (isterinya)
seorang demi seorang. Baginda menghampiri dan membelai kami tetapi tidak
bersama sehingga Baginda singgah ke tempat isteri yang menjadi giliran Baginda,
lalu Baginda bermalam ditempatnya. ” (Hadis Riwayat Ahmad).
Mencium isteri
Dari Aisyah r.a, “bahawa
Rasulullah s.a.w. biasa mencium isterinya setelah mengambil wuduk, kemudian
Baginda bersembahyang dan tidak mengulangi wuduknya.” (Hadis Riwayat
Abdurrazaq)
Dari Hafshah, puteri Umar
r.a., “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. biasa mencium isterinya sekalipun sedang
berpuasa.” (Hadis Riwayat Ahmad).
Berbaring di pangkuan isteri
Dari Aisyah r.a., “Nabi
s.a.w. biasa meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid,
kemudian beliau membaca Al-Quran.” (Hadis Riwayat Abdurrazaq)
Memanggil dengan panggilan
mesra
Rasulullah s.a.w. biasa
memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang di sukainya seperti Aisy
dan Umairah (pipi merah delima).
Menyejukkan kemarahan isteri dengan mesra
Nabi s.a.w. biasa memicit
hidung Aisyah jika dia marah dan Baginda berkata, “Wahai Uwaisy, bacalah doa:
Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan
hatiku dan lindungilah diriku dari fitnah yang menyesatkan. ” (Hadis Riwayat Ibnu
Sunni)
Membersihkan titisan darah haid isteri
Dari Aisyah r.a., dia
berkata, “Aku pernah tidur bersama Rasulullah s.a.w. di atas satu tikar ketika
aku sedang haid. Apabila darahku menitis di atas tikar itu, Baginda mencucinya
pada bahagian yang terkena titisan darah dan baginda tidak berpindah dari
tempat itu, kemudian beliau sembahyang di tempat itu pula, lalu Baginda
berbaring kembali di sisiku. Apabila darahku menitis lagi di atas tikar itu,
Baginda mencuci pada bahagian yang terkena titisan darah itu saja dan tidak
berpindah dari tempat itu, kemudian baginda pun sembahyang di atas tikar itu.”
(Hadis Riwayat Nasai)
Memberikan hadiah
Dari Ummu Kaltsum binti Abu
Salamsh, ia berkata, “Ketika Nabi s.a.w. menikah dengan Ummu Salamah, Baginda
bersabda kepadanya, “Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja
Najasyi sebuah pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku
mengetahui ternyata Raja Najasyi telah meninggal dunia dan aku mengagak hadiah
itu akan dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan kepadaku, aku akan
memberikannya kepadamu.” Dia (Ummu Kaltsum) berkata, “Ternyata keadaan Raja
Najasyi seperti yang disabdakan Rasulullah s.a.w. dan hadiah tersebut
dikembalikan kepada Baginda, lalu Baginda memberikannya kepada masing-masing
isterinya satu botol minyak kasturi, sedang sisa minyak kasturi dan pakaian
tersebut Baginda berikan kepada Ummu Salamah.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Segera menemui isteri apabila tergoda
Dari Jabir, sesungguhnya
Nabi s.a.w. pernah melihat wanita, lalu Baginda masuk ke tempat kediaman
Zainab, untuk melepaskan keinginan Baginda kepadanya, lalu keluar dan bersabda,
“Wanita kalau menghadap, ia menghadap dalam rupa syaitan. Apabila seseorang di
antara kamu melihat wanita yang menarik, hendaklah ia mendatangi isterinya
kerana pada diri isterinya ada hal yg sama dengan yang ada pada wanita itu.”
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Begitu indahnya kemesraan
Rasulullah s.a.w. kepada para isteri Baginda, memberikan gambaran betapa Islam
sangat mementingkan sikap kerana sikap dan perbuatan baik cara yang paling
efektif menyatakan rasa cinta, kasih dan sayang antara suami dan isteri. Inilah
teladan yg perlu dicontohi.
Berkhidmat pada isteri
Salah satu ibadah yang
paling besar di dalam Islam adalah berkhidmat kepada isteri. Rasulullah
bersabda, “Duduknya seorang lelaki dengan isterinya kemudian membahagiakan
isterinya, pahalanya sama dengan orang yang itikaf di masjidku.”
Kita dapat saksikan para
jemaah haji ketika tinggal selama seminggu di sana mereka berusaha melakukan
itikaf dengan sebaik-baiknya di masjid Nabawi. Kita akan memperoleh pahala yang
sama seperti itikafnya para jamaah haji kalau kita duduk bersama isteri dan
berusaha membahagiakan, memberikan ketenteraman dan keselesaan kepadanya.
Begitu pula bagi para
isteri. Mereka haruslah menjadi seorang isteri seperti Khadijah Al-Kubra.
Khadijah adalah sosok isteri yang sangat dicintai oleh suaminya. Selama
Rasulullah menikah dengannya, Rasulullah tidak pernah memikirkan the other
women beside her, wanita lain di samping Khadijah. Rasulullah hidup dalam
suasana yang penuh dengan kecintaan dan kasih sayang.
Cinta kasih Nabi terhadap
Khadijah tergambar dalam riwayat berikut ini: Setelah Khadijah meninggal dunia,
Rasulullah menikah dengan Aisyah. Suatu hari Rasulullah sedang berada di depan
rumah. Tiba-tiba Rasulullah meninggalkan Aisyah menuju kepada seorang
perempuan. Rasulullah memanggilnya dan menyuruh perempuan itu duduk di
hadapan-nya kemudian mengajaknya berbicara.
Sabda Rasulullah S.A.W. –
Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara
kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia
kehendaki.
Aisyah bertanya, “Siapakah
perempuan tua ini?” Rasulullah menjawab, “Inilah sahabat Khadijah dulu.” Lalu
Aisyah berkata, “Engkau sebut-sebut juga Khadijah padahal Allah telah
menggantikannya dengan isteri yang lebih baik.”
Ketika itu marahlah Nabi
sampai bergoncang rambut di atas kepalanya. Lalu beliau berkata, “Demi Allah,
tidak ada yang dapat menggantikan Khadijah. Dialah yang memberikan kepadaku
kebahagiaan ketika orang menghinaku. Dialah yang menghiburku dalam penderitaan
ketika semua orang membenciku. Dialah yang memberikan seluruh hartanya kepadaku
ketika semua orang menahan pemberiannya. Dan dialah yang menganugerahkan kepadaku
anak ketika isteri-isteri yang lain tidak memberikannya. ” Mendengar itu Aisyah
tidak dapat memberikan jawaban. Hadis ini diriwayatkan dalam Shahih Bukhari dan
Muslim.
Dalam ucapan Rasulullah
itu, selain terkandung kecintaan Rasul terhadap Khadijah, juga terkandung
kebaktian Khadijah terhadap suaminya. Khadijahlah yang menghibur suaminya
ketika dalam perjuangan dilanda berbagai penderitaan. Khadijahlah yang
mengorbankan seluruh hartanya ketika suaminya memerlukan. Khadijahlah yang
mendampingi suaminya dalam suka dan duka. Sehingga Rasul berkata, “Tidak ada
seorang pun yang dapat menggantikan Khadijah.”
Kepada para isteri, jadilah
seperti Khadijah yang setiap saat rela mengorbankan apa pun demi kebahagiaan
suami. Yang di saat-saat suami ditimpa duka dan kesusahan siap berdiri di
sampingnya, memberikan hiburan dan kebahagiaan kepadanya dengan seluruh jiwa
dan raga.
Kebaktian kepada suami di
dalam Islam dianggap ibadah yang utama. Sampai Rasulullah bersabda, “Kalau
seorang perempuan memberikan setitis minum kepada suaminya atau memindahkan
barang dari rumahnya ke tempat yang lain untuk membahagiakan suaminya, maka
pahalanya sama dengan melakukan ibadah satu tahun.” Oleh sebab itu, hormatilah
suami. Berikan kepadanya penghormatan yang sepenuhnya dan berikanlah kecintaan
yang sepenuhnya. Insya Allah, Tuhan akan berkati keluarga yang seperti
demikian.
No comments:
Post a Comment