Malam dingin dengan sapaan angin membelai sekali-sekala. Saya renung
wajahnya. Jelas sudah retak-retak pada pelipis matanya. Pipinya, walaupun masih
merah seperti dulu, tapi sudah ada riak-riak kedutan yang mula bertamu.
”Bang, bahagiakah kita?”
Masih terngiang-ngiang pertanyaannya lewat bual kami menjelang tidur.
”Bahagia itu di mana?” tanya saya semula.
Dia diam. Matanya redup bagai kerlipan lampu kamar tidur kami.
“Terlalu banyak yang kita telah lalui bersama. Tak sedar dah lebih 20 tahun
kita bersama,” kata saya.
Pertanyaannya terus ternganga. Saya pasti dia tidak memerlukan jawapan.
Kekadang, soalan dan luahan… sukar dibezakan.
Dalam suram wajahnya saya renung. Mata kami bertembung. Tidak ada bicara,
namun rasa dalam rentetan pelbagai peristiwa begitu laju menerpa. Satu demi
satu. Masih harum rasanya kenangan malam itu. Waktu kali pertama tangan kami
bersatu. Jari-jarinya berinai merah. Seri wajahnya seakan purnama menghiasi
kamar pengantin. Tapi sekarang… jari-jari itu tidak sehalus dan semulus dulu.
Telah banyak diguris kesusahan, sudah sering diguris keperitan. Pun seri
wajahnya, retak juga dipagut usia.
Masih saya ingat kata-kata malam pertama kami…
”Apa perasaan mu?”
Dia senyum.
”Saya bahagia.”
”Hari ni boleh jadi bahagia… tapi insya-Allah kita masih ada ribuan hari
lagi yang akan dilalui bersama. Berdoalah, seperti mana muqaddimahnya,
begitulah nanti natijahnya….” kata saya seakan berbisik. Senyum kami menguntum.
Oh, alangkah indahnya ketenangan yang dia berikan. Tetapi akhirnya ’mentari’
kehidupan pun menyala petanda ’bulan’ bermadu telah berakhir. Hidup tidak
selalu indah kerana di situlah keindahan hidup.
Dan hari demi hari terus berlalu. Musim pantas mencantas waktu bagai embun
dijilat surya. Putera dan puteri kami menyusul seorang demi seorang. Tribulasi
datang dan pergi. Berpindah dari satu daerah ke satu daerah. Roda kehidupan
berputar laju. Kekadang di atas, sering juga di bawah. Ada ketikanya, senyum,
suka dan ceria. Acapkali juga ada muram, duka dan air mata. Anehnya, dia terus
bersama saya. Kadang tegurannya tajam, menikam… saya pedih. Namun, jauh di
sudut hati, terbujuk juga – itu kerana sayang. Pernah juga belaian dan manjanya
melekakan… mujur hati sering diingatkan – dia adalah ’hadiah’ Tuhan untuk saya.
Masakan hadiah lebih besar daripada Pemberinya?
Kekadang kolek rumah-tangga gegar dipukul gelombang. Untunglah, kesabaran
masih mampu bertahan… pelayaranpun diteruskan.
”Bahagiakah kita?”
Soalan itu kembali mengusik rasa.
”Di mana bahagia itu?”
”Di hujung atau di pangkalnya?”
Lalu saya temukan jawapannya…
”Bahagia itu bukan di pangkal jalan, bukan juga di hujung jalan… tetapi ia
ada di sepanjang jalan.”
”Bahagia itu apa?”
Sekali lagi saya terhenyak ke penjuru jiwa. Mencari kata untuk
menggambarkan rasa. Mampukah?
”Bahagia itu ketenangan!” kata ulama yang arif tentang wahyu dan sabda.
”Ketenangan itu apa?”
”Hati yang tenteram dalam semua keadaan dan suasana. Susah mahupun senang,
miskin ataupun kaya, sihat mahupun sakit, pujian dan kejian… sama sahaja.”
”Bagaimana hendak memiliki hati semacam itu?”
”Ingat Allah… hati akan menjadi tenang.”
Bertalu-talu monolog diri itu menerjah kamar hati. Apa yang diketahui, apa
yang dirasa, apa yang dilihat, apa yang dibaca sekian lama… terburai semuanya
di malam ini – ditusuk sebuah pertanyaan: ’Bang, bahagiakah kita?”
”Tanpa Tuhan, tiada ketenangan. Tanpa ketenangan, tiada kebahagiaan.”
”Isteriku, kebahagiaan itu terlalu maknawi. Tapi ketenangan itu dapat
dirasai. Jika kau tanyakan, bahagiakah kita? Ertinya, kau tanyakan tentang
ketenangan kita. Dan jika kau tanyakan tentang ketenangan kita… kau sebenarnya
bertanyakan sejauh mana kita ingatkan DIA – Tuhan kita!”
”Bang apakah aku telah dapat memberikanmu satu ketenangan?”
”Jangan tanyakan itu, sebaliknya tepuk dada tanya dirimu… apakah aku telah
tenang?”
”Kenapa?”
”Hanya orang yang tenang sahaja dapat memberi ketenangan…”
”Ah, semakin sukar pula mencari jawapan… semakin diselam, semakin dalam.”
Malam kian larut di kolam buana. Mata saya kembali merenung wajah isteri.
Dia yang tidak pernah meninggalkan saya ketika apapun jua. Ketika orang memuji,
dia mengingatkan. Ketika orang mengeji, dia menggiatkan. Bagi saya itulah
ketenangan yang dihadiahkannya… Walaupun mungkin itu hanya serpihan dari
hakikat ketenangan yang hakiki. Namun itupun sudah memadai. Monolog hati saya
terus bergema:
”Isteriku, apakah perjalanan kita ini masih panjang ataupun pendek…
entahlah, aku tidak pasti. Namun, selagi antara kau dan aku masih ada DIA –
Tuhan kita. Selama itulah kita akan tenang. Jika kau ingat, kaulah sumber
ketenanganku. Jika aku ingat, akulah sumber ketenanganmu. Jika kita sama-sama
mengingati-Nya, maka bahagialah kita. Sebaliknya, jika kita sama-sama lupa…
musnahlah kita.”
Lalu dalam suram kamar yang sederhana… saya sentuh tangannya. Walaupun
tidak halus dan mulus seperti dulu, tapi sentuhan itu membelai hati saya. Kali
ini bukan rasa tahap rendah yang membara. Tapi rasa tahap tinggi yang
menyala-nyala. Isteriku… kita bahagia!
Perlahan-lahan, saya bangun, bergerak ke meja tulis. Sebuah sajak yang saya
hasilkan sewaktu berjauhan dahulu saya keluarkan dari lipatan buku catatan
peribadi. Terasa kesal juga tidak kirimkan kepadanya. Akibatnya, sajak ”Jauh
itu dekat” tidak pernah dibacanya. Saya baca kembali baitnya satu persatu:
Kembali
kita berjauhan…
salam
terpisah, senyum tertahan
rindu
berbuah, sayang merendang
jauh-jauh
begini…
menguji
percintaan
Suaramu
telus di langit kelabu
setiamu
selimut dingin hujanku
arca
bayang-bayang malam
sinar
remang-remang siang
melukis
setiamu di awan gemawan
Terpisah
semakin indah
kian
terlarut keruhan rasa
terimbau
semula nostalgia lama
jari-jari
merahmu…
di
malam pertama
No comments:
Post a Comment