Thursday 5 July 2012

Aqiqah

Apa itu Aqiqah?
Aqiqah adalah binatang yang disembelih pada hari ke 7 untuk seorang bayi yang dilahirkan. Pada asalnya perkataan ini digunakan dari sudut bahasa untuk makna rambut yang ada di atas kepala bayi yang dilahirkan. Masyarakat Arab kemudiannya menukarkan kepada nama binatang sembelihan yang dilakukan sewaktu mencukur rambut bayi berdasarkan kepada adat kebiasaan mereka yang suka menamakan sesuatu mengikut nama perkara yang menjadi sebab.

 
Hukum menjalankan

Ulama' Syafie mengatakan hukum melakukan aqiqah ini adalah sunat bagi mereka yang wajib membelanjakan nafkahnya dalam sesebuah keluarga. Bagi pendapat Ulama' Hanafi pula beliau mengatakan hukumnya adalah harus, ini kerana ibadah korban yang disyariatkan telah membatalkan semua bentuk sembelihan.

Jenis binatang sembelihan
 Para Ulama' sependapat mengatakan sifat binatang yang akan disembelih untuk aqiqah adalah sama seperti binatang yang mahu dijadikan korban yang terdiri dari kambing, biri-biri, kibasy, lembu, kerbau, unta dan semua jenis yang termasuk dalam kategorinya, sama ada ianya jantan ataupun betina, baik yang baka ataupun sudah dikasi. Adalah tidak sah melakukan penyembelihan selain dari binatang (an'am) ini.
Umur binatang sembelihan
 Ulama' Syafie mengatakan syarat umur binatang aqiqah bagi kambing, lembu dan kerbau ialah genap 2 tahun, memasuki umur 3 tahun. Kibasy genap setahun memasuki umur 2 tahun. Bagi unta berumur 5 tahun memasuki umur 6 tahun.

 
Sifat binatang Aqiqah
Sifat-sifat binatang aqiqah adalah sama seperti binatang koban iaitu mestilah seekor ternakan yang sihat tubuh badannya, dipilih dari yang paling baik dan gemuk serta banyak daging. Tiada apa-apa kecacatan pada binatang tersebut seperti tempang atau kudung kakinya. Tiada sebarang penyakit berjangkit atau gila. Tidak rabun, buta sebelah mata atau dua belah matanya, tidak terlalu kurus yang menyebabkan kurang daging dan lemaknya. Rasulullah bersabda, 'Empat perkara yang tidak harus ada pada binatang koraban iaitu kabur matanya, sakit yang teruk, tempang sehingga menonjolkan tulang rusuknya seta tidak bersangatan kurus sehingga tiada lemak langsung'. (H.R. Ahmad)
Bilangan binatang Aqiqah
Ulama' Syafie dan Hanbali berpendapat bilangan aqiqah untuk seorang anak lelaki adalah 2 bahagian ataupun 2 ekor kambing sedang bilangan aqiqah bagi anak perempuan pula cuma 1 bahagian ataupun seekor kambing. Sumber pendapat mereka adalah dari sebuah hadis yang diriwayatkan dari Aisyah, Rasulullah bersabda, 'Untuk seorang anak lelaki 2 ekor kambing yang sempurna dan untuk seorang anak perempuan pula hanyalah seekor kambing'. Bagi pendapat Imam Maliki pula beliau mengatakan memadai binatang aqiqah itu seekor sahaja sama ada untuk anak lelaki ataupun untuk anak perempuan.

Waktu sembelihan

Waktu sembelihan aqiqah dilakukan pada hari ke 7 selepas kelahiran seseorang bayi. Imam Syafie dan Hanbali menegaskan, jika sembelihan itu dilakukan di luar dari waktu itu sama ada sebelum 7 hari ataupun selepas dari 7 hari ianya tetap memadai dan tidak menjadi apa-apa kesalahan. Dalam hal ini Imam Hanbali menambah, sesuatu aqiqah itu tidak harus dilakukan oleh orang lain selain dari bapa. Demikian juga aqiqah tidak boleh dilakukan oleh kanak-kanak itu sendiri walaupun setelah ia dewasa dan berkemampuan, ini kerana ia telah disyariatkan ke atas seorang bapa.
Hukum daging aqiqah
Daging aqiqah adalah sunat dimasak dan dimakan oleh anggota keluarga dan juga untuk orang luar seperti mengadakan jamuan ataupun dibuat kenduri. Dalam masalah memecahkan tulang, Imam Syafie dan Hanbali berpendapat ianya tidaklah dihukum makruh kerana tidak terdapat sebarang dalil yang mensabitkannya tetapi ianya hendaklah dilakukan dengan cara yang berpada atau sekadar yang perlu sahaja dan janganlah sampai hancur atau berkecai terus akan tulang-tulang binatang aqiqah itu. Tujuan ini dilakukan adalah dengan harapan supaya anggota-anggota anak tersebut menjadi lebih kuat dan selamat dan ini juga berdasarkan kepada sebuah hadis dari Aisyah yang mengatakan, 'Mengikut sunnah bagi setiap anak lelaki dua ekor kambing yang elok dan untuk anak perempuan seekor kambing dimana ianya dimasak tanpa dipecahkan atau dipatahkan tulang-tulangnya serta dimakan, dijamu dan disedekahkan kepada orang ramai. Ini semua dilakukan pada hari ke 7'. Imam Ahmad pula mengatakan adalah harus kepala dan kulit binatang aqiqah dijual dan wangnya itu disedekahkan pula.
Amalan yg dituntut slps kelahiran bayi

1.Sunat bagi seorang bapa melafazkan azan ke telinga kanan bayinya dan iqomah pada telinga sebelah kirinya. Perbuatan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah sewaktu menerima kehadiran cucu pertama dari puterinya Fatimah. Sebuah hadis dari Ibnu Abbas beliau menyebut, bahawa Rasulullah telah melakukan azan di telinga Hassan b. Ali pada hari ia dilahirkan dan Baginda juga melakukan iqomah pada telinga kirinya.

2.Sunat mentahniqkan dengan sesuatu yang manis ke mulut bayi seperti buah tamar, pisang dan sebagainya. Caranya ialah dengan mencalitkan atau meletakkan sebahagian kecil sahaja dari cebisan buah tersebut ke mulut bayi.

3.Sunat juga mengucapkan tahniah kepada mereka yang baru mendapat cahaya mata dengan menyebut, 'Semoga Allah memberikan keberkatanNya kepadamu dengan kurniaan ini dan bersyukurlah kepada Allah.

4.Sunat mencukur rambut di kepala bayi pada hari ke 7 dan menamakan bayi itu dengan nama-nama yang baik serta melakukan aqiqah untuknya. Berat rambut bayi yang dicukur ditimbang lalu dikeluarkan sedekah emas atau perak seberat timbangan rambutnya. Rasulullah pernah mengarahkan kepada puterinya Fatimah dengan sabdanya,'Hendaklah engkau timbang rambut Hussain ini dan bersedekahlah dengan perak mengikut berat timbangannya'.

No comments:

Post a Comment