Thursday 10 May 2012

Ada Sesuatu Daripada Pertengkaran

Daku rasa terpanggil untuk mencoretkan serba sedikit pengajaran yang aku dan kita semua dapat daripada pengalaman berumahtangga. Melihatkan orang di sekeliling aku yang mempunyai pengalaman yang lebih teruk membuatkan aku bersyukur sangat-sangat kerana dikurniakan seorang suami yang terlalu baik, pendek kata memenuhi ciri-ciri lelaki idaman aku. Sememangnya dari bujang lagi aku tidak mahu bersuamikan lelaki yang panas baran kerana sikap panas baran ini akan mendatangkan pelbagai kesan buruk seperti memukul, mendera dan sebagainya...Nau'zubillah..Ya Allah mintak dijauhkanlah semua itu daripada mencacatcelakan kehidupan yang bahagia..

Hakikatnya kita datang daripada kehidupan peribadi yang berbeza dan ada pula yang datang daripada agama dan budaya yang berbeza dari sebelumnya. Sudah tentulah kita mengalami pelbagai proses penyesuaian diri sepanjang tempoh perkahwinan itu.

Pertengkaran, pergaduhan dan selisih faham adalah antara proses kita untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain. Melalui perselisihan pendapat kita sebenarnya sedang saling mempelajari sesuatu daripada pasangan, samada kelemahan, kelebihan, kejujuran mahupun keistimewaannya.

Sesiapapun akan meluahkan apa sahaja yang terbuku di hatinya ketika sedang marah, sedang protes atau sedang kecewa tanpa disedarinya. Sebagai pasangan, kita tidak perlu cepat melenting untuk melepaskan perasaan. Biar dia keluarkan apa yang ada dalam hatinya. Bertenanglah... Sekiranya kita tahu menggunakan dengan sebaik-baiknya medan pertempuran ini, kita bakal mengetahui dengan lebih mendalam karekter lelaki atau wanita yang menjadi pendamping hidup kita.

Kita boleh menggunakan pertengkaran ini sebagai satu teknik untuk lebih mencintainya. Kerana ketika sedang menghamburkan kata-kata amarah, dia mungkin sedang memberitahu apa yang diingininya daripada kita sebagai pasangannya. Dengan itu, adalah lebih baik ketika salah seorang daripada kita sedang marah, yang seorang lagi harus mendiamkan diri dan mendengar apa yang diluahkan pasangan melalui kemarahannya. Elakkan daripada sama-sama bercakap dalam nada yang marah dan suara meninggi kerana pertengkaran akan menjadi api membakar kebahagiaan.

Pertengkaran atau selisih faham adalah perkara biasa dalam rumahtangga,malahan dianggap luar biasa jika ada yang mendakwa mereka tidak pernah bertengkar sepanjang melayari bahtera perkahwinan. Berhujahlah atau lepaskan rasa tidak tenang kita itu pada kesempatan lain, sebaik-baiknya selepas dia bertenang. Bincangkan apa yang diperkatakannya ketika sedang marah itu dengan otak yang sejuk. Perbaiki kesilapan bersama dan anda boleh menjelaskan bahawa tidak ada yang sempurna di dunia ini termasuk anda berdua. Berusaha memperbaiki diri dan saling memaafkan. Jangan biarkan anak-anak menjadi mangsa pergaduhan anda dan pasangan. Kasihanilah dan sayangilah anak-anak anda..kerana anak adalah penyeri rumahtangga kita.

No comments:

Post a Comment