Friday 25 May 2012

Ibu...Mencurah Kasih Tanpa Batasan

Nilai kasih sayang dalam Islam amat ditekankan dalam pendidikan umat kerana ia merupakan salah satu cabang keindahan Islam sebagai satu sistem kehidupan cemerlang. Bahkan, kasih sayang yang dicurahkan kena pada tempat dan masanya, juga menjanjikan perkembangan yang harmoni dalam diri manusia bergelar Muslim seandainya dibimbing secara tepat. Dalam menyentuh konsep ini, kita tidak dapat meleraikan ikatan kukuh antara ibu dan kasih sayang. Malah dunia moden hari ini amat galak meraikan apa yang disebut sebagai Hari Ibu pada bulan Mei saban tahun.

Pada waktu ini anak-anak mengambil peluang menghubungi atau menziarahi ibu mereka untuk meluangkan masa sebagai tanda penghargaan, malah pada masa yang sama keikhlasan anak-anak ini dijadikan peluang untuk dimanipulasikan oleh golongan peniaga dengan kenaikan harga cenderahati dan hadiah buat ibu sebagaimana yang kita lihat sepanjang minggu sebelum dan selepas perayaan ini.

Sejarah memperlihatkan Hari Ibu berdiri di atas beberapa peristiwa penting dalam sejarah manusia. Pertama, perayaan ini timbul pada waktu empayar Roman purba. Penghormatan terawal sambutan orang Greek yang berlangsung pada musim bunga setiap tahun itu, asalnya ditujukan kepada Dewi Rhea, yang dianggap ibu kepada tuhan. Orang Roman purba menyambut Hari Ibu untuk memberi penghormatan kepada Cybele iaitu Tuhan Ibu yang perkasa (The Great Mother of God).

Orang Kristian pula menyambut Hari Ibu ketika perayaan Lent (40 hari sebelum perayaan Easter), iaitu pada Ahad keempat sebagai tanda penghormatan kepada Mary, ibu kepada Christ. Di England, hari cuti itu dinamakan sebagai Mothering Sunday dan diperluaskan merangkumi semua ibu.

Di Amerika Syarikat, sejarah Hari Ibu bermula apabila seorang wanita bernama Anna Jarvis (the mother of Mothers Day) berusaha gigih untuk membantu golongan miskin dalam masyarakatnya. Beliau berasa hari itu adalah hari terbaik untuk disambut bagi menghargai ibu dan menamakannya sebagai Mothers Work Day.

Dengan erti kata lain asal-usul sambutan Hari Ibu berkait rapat dengan akidah serta situasi dalam jangka masa dan ruang lingkup yang berbeza. Bagi dunia Barat hari ini, perayaan tersebut sangat penting dalam menghadapi keruntuhan institusi kekeluargaan, lebih-lebih lagi hilangnya rasa hormat terhadap mereka yang bergelar ibu.

Ibu menjadi simbol kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga, malahan diterjemahkan kecantikan Islam dengan sumbangan mereka yang dihargai tanpa batasan hari atau perayaan tertentu.

Saban hari, setiap dua puluh empat jam kitaran waktu menjadi detik-detik penting buat umat Islam memperingati jasa serta pengorbanan mereka sejajar dengan kehendak Islam. Dengan menyelak kembali helaian demi helaian al-Quran, Muslim dan bukan Islam sekalipun akan merasa ketakjuban melihatkan kedudukan seorang ibu diangkat tinggi oleh Allah s.w.t.

Ini dapat dilihat melalui penghormatan yang diberikan oleh Allah kepada Mariam, ibu kepada Nabi Isa a.s. yang mana tidak akan ditemui nilai kedudukan yang sama tercatat di mana-mana kitab sekalipun. Kita mendapati nama wanita mulia ini dicatatkan sebaris dengan nama-nama surah yang lain dan Mariam turut dikhabarkan oleh Allah sebagai:

``Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Mariam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu dan mensucikanmu dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu). (Ali Imran: 42)

Mereka yang bergelar ibu jualah telah melahirkan barisan anbiya yang membawa kepada perubahan sosial serta pemikiran umat pada zaman mereka hinggalah kehadiran Rasulullah s.a.w.

Lihatlah bagaimana seorang wanita bernama Aminah menjadi ibu kepada Nabi Muhammad s.a.w., mengasuh dan mendidik anaknya pada waktu kecil dengan sentuhan emosi ketika insan mulia ini ketiadaan seorang bapa untuk berkasih sayang.

Renungilah bagaimana ibu Musa a.s. melakukan pengorbanan terbesar dengan merelakan anaknya dihanyutkan ke sungai demi menyelamatkan nyawa anak kecil itu daripada menjadi korban nyawa tentera Firaun ketika itu. Begitu jualah Sumaiyah dengan ketabahan merelakan diri dan keluarganya dizalimi kerana mempertahankan kebenaran Islam dan ini menunjukkan kekuatan semangat dalam jiwa seorang ibu dan mujahidah.

Membina generasi

Sehingga hari ini, seorang bergelar ibu masih berperanan dalam membina generasi yang bertamadun serta menyumbang kepada masyarakat dan agama. Inilah mukadimah penulisan Syed Qutb di dalam bukunya Taswir al Fanni fil Quran sebagai menghargai jasa ibunya, Fatimah Hussain Usman yang sangat menginginkan beliau menjadi pemuda yang berjiwa besar dan seorang penghafaz al-Quran. Antara kata-kata beliau:

``Wahai  ibuku, daripada anak muda kesayanganmu ingin kupersembahkan kepadamu ibu hadiah atas penat jerih dan susah payahmu dengan didikan ilmu serta pengalaman. (Milestones:S.Badrul Hassan)

Peranan seorang ibu tidak akan luput dengan kehendak dunia material hari ini. Malah pada saat-saat ini, mereka masih diperlukan untuk memberi sokongan emosi serta kasih sayang buat anak-anak bergelar remaja yang sentiasa dilanda konflik serta bebanan masalah. Umur mereka yang semakin lanjut tidak bermakna mereka tidak berkepentingan lagi dalam kehidupan. Pada saat-saat ini, ibu dan anak saling memerlukan tetapi amat malang keadaan ini sudah jarang-jarang diberi perhatian.

Keistimewaan ibu kadangkala di luar jangkauan pemikiran kita. Bayangkan seorang ibu mampu melahirkan anak-anak yang ramai meskipun dihimpit kemelut kemiskinan, tetapi dari masa ke masa anak-anak ini membesar dan berjaya menjadi insan berguna, malah kedudukan mereka lebih baik dan harta mereka lebih banyak berbanding kehidupan ibu mereka.

Seorang ibu yang kurang ilmu akademik dan ada yang tidak tahu membaca, masih mampu membentuk anak-anak yang bergelar pemikir di kalangan kita. Ujian Tuhan dengan kehilangan anak sentiasa disambut dengan rasa redha dan baik sangka terhadap Allah, Kekuatan apakah yang mereka miliki sehinggakan mereka berjaya membuahkan hasil yang hebat? Tidak lain tidak bukan, keikhlasan, ketabahan dan keyakinan kepada Tuhan.

Peranan seorang ibu selain daripada membimbing jiwa dan roh anak-anak, turut berperanan sebagai isteri, anak dan saudara. Hak seorang ibu yang bertindak sebagai isteri perlu dipenuhi kerana inilah peringatan Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 233:

``Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.

Jelas kini, dengan terhimpunnya segenap jenis tanggungjawab dan peranan ke bahunya, Islam tidak mengetepikan sumbangan serta kesabaran yang tersemat dalam jiwa dan minda seorang ibu.

Anak-anak wajar memainkan peranan besar dalam kehidupan mereka tidak sekadar dengan menghulurkan wang saban bulan tetapi menjadikan kesempatan ini menziarahi, bermanja mesra dan menyenangkan hati seorang ibu pada waktu hayatnya. Berdoa, itulah salah satu sumbangan seorang anak untuk mendapat keberkatan di dunia dan akhirat. Sama ada pada waktu hidupnya mahupun ketiadaannya, doa adalah pengikat hubungan serta simbol tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Disebutkan oleh Allah:

``Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: ``Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).

Mencium dahi dan tangan mereka mungkin dipandang remeh, tetapi apabila ia dilakukan saban hari akan mengalir satu perasaan hormat, sikap menghargai serta kasih antara anak dan ibu. Adakah satu kerugian andainya seorang yang masih mempunyai ibu melakukannya saban hari sebelum ke tempat kerja atau pusat pengajian? Sampai bilakah perlu kita menunggu untuk melakukan? Inilah peluang daripada Allah untuk kita mencari sekelumit keberkatan dan doa ibu dalam waktu mencari-cari pahala sebagai bekalan. Itulah nilai seorang ibu, hanya seorang sahaja di dunia.

No comments:

Post a Comment