Tuesday 15 May 2012

PALESTIN : We Care For You..

Mari kita fikir-fikirkan mesej ini dahulu sebelum daku meneruskan lagi isu Palestin yang tidak pernah selesai...


Anak Palestin gugur syahid, anak Melayu gugur janin,

Anak Palestin hilang keluarga sebelum berkahwin, anak Melayu hilang dara sebelum berkahwin,

Anak Palestin maut ditembak zionis semasa jihad, anak Melayu maut di tembok jalan semasa rempit,

Anak Palestin menangis kerana diragut harta, maruah, keluarga dan perlindungan, anak Melayu menangis kerana teman lelaki atau teman wanita,

Anak Palestin hilang kaki kerana berjuang untuk agama, anak Melayu hilang maruah kerana cinta..


Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
Tarikh hari ini, 15 Mei, diingati dalam sejarah Palestin dan umat Muslim khasnya sebagai Hari Bencana, hari wilayah Palestin pada 1948 dirampas, dan negara Zionis Israel ditubuhkan.
 
Sehingga ke hari ini, isu Palestin masih membelenggu umat Muslim di seluruh dunia, yang berdepan realiti kompleksiti isu ini yang menjadi sebahagian politik rantau Asia Barat dan dunia Arab dan juga seluruh dunia Islam.

Pada masa Palestin semakin mendapat perhatian dunia dan semakin diiktiraf oleh negara-negara di Barat sendiri, dunia Islam masih tidak menunjukkan kesatuan dalam menangani isu sentral umat ini.

Palestin ada kalanya, seperti dalam kes melibatkan Syria pada masa ini, tersepit di antara percaturan kuasa-kuasa serantau yang melibatkan jiran-jiran Arab, kuasa serantau Arab Saudi, Syria, Iran, Turki dan Qatar.

Kuasa-kuasa serantau, walaupun memberi banyak bantuan dan sumbangan dalam membela Palestin, walau bagaimanapun masih menjadikan Palestin sebagai sebahagian isu hubungan luar, yang ada turun naiknya.

Satu masa dulu, Saddam Hussein menggunakan isu Palestin untuk meningkatkan imejnya, dengan cara memberi bantuan kepada rakyat negara itu. Pada masa itu, Saddam ialah pemimpin yang tidak popular dalam kalangan pemimpin-pemimpin dunia Arab.

Walaupun kekejaman Saddam diketahui, sumbangan diktator Iraq itu tetap membantu rakyat Palestin menghadapi hari-hari yang sukar di bawah penjajahan Zionis.

Pada masa ini, Iran dan Syria menjadi pihak yang banyak membantu Palestin, terutama gerakan Islam dan kumpulan politik anti-Israel di Palestin dan Lubnan, tetapi talian hayat ini sedang cuba diputuskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan yang antaranya termasuk kuasa-kuasa serantau Arab saudara seagama rakyat Palestin sendiri.

Turki dan kuasa sedang meningkat Qatar juga menunjukkan kesediaan memberi bantuan kepada Palestin, walaupun pemberian bantuan itu tidak dapat dipisahkan daripada agenda politik serantau yang sedang digerakkan oleh mereka pada masa ini.

Mesir, negara yang menguatkuasakan kepungan Gaza semasa di bawah Presiden Hosni Mubarak kini menyaksikan harapan kepada Palestin, walaupun keputusan akhirnya masih tertakluk kepada politik dalaman dan hubungan dengan kuasa besar.

Dalam kalangan negara Arab seperti Arab Saudi dan negara-negara Arab di Teluk Parsi, isu Palestin tidak mendapat perhatian sewajarnya, terutama melibatkan gerakan Islam seperti Hamas yang tidak disenangi rejim-rejim tersebut.

Suasana politik di dunia Arab telah menunjukkan perhatian yang sangat sedikit diberi pada Palestin, dan isu ini lebih menjadi retorik untuk menampakkan keprihatinan kepada warga dunia Islam.

Lebih malang lagi, usaha pembelaan Palestin oleh pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil dan beberapa kerajaan Barat dan Amerika Latin jauh mengatasi usaha oleh kebanyakan negara Arab.

Daripada senario ini, dapat dilihat bahawa sokongan untuk Palestin sangat berkait rapat dengan percaturan politik pemain-pemain utama politik rantau Asia Barat dan Afrika Utara.

Isu Palestin juga akhirnya lebih banyak menjadi permainan politik antara pihak pemerintah dengan pembangkang, dalam pertandingan mengejar populariti untuk pilihanraya.
Setelah sekian lama masalah Palestin menjadi seolah barah yang tidak boleh dirawat, maka tidak ada lagi pendekatan yang boleh dipilih selain dari jihad. Apabila diteliti dan dilihat pelbagai kenyataan dan sejumlah resolusi diluncurkan PBB sejak Perjanjian Oslo 1993 dimeterai sehingga sekarang, Israel tidak pernah tunduk kepada sebarang bahasa diplomatik.

Malah yang dilakukan oleh Israel lebih ganas dari sebelumnya. Dari pembesaran kawasan kediaman Yahudi di tanah Palestin yang hanya tinggal 22% dari asal sehingga melancarkan serangan militeri berterusan ke atas Tebing Barat dan Gaza, membunuh, memusnah dan merampas hak rakyat Palestin. Israel tidak sedikitpun gugur cirinya sebagai negara teroris.

Zionisme tidak mengenal erti taat kepada sebarang perjanjian. Sejarah jelas memperlihatkan Yahudi Zionis bukan sahaja melanggar perintah Allah malah sanggup membunuh Nabi-nabi Allah.

Inilah hakikat yang perlu diterima oleh pejuang pembebasan Palestin dan Masjid Al Aqsa bila berdepan dengan Zionis Yahudi. Sejak tanah Palestin dirampas pada tahun 1948, baki kawasan yang tersisa untuk rakyat Palestin hanya tinggal tidak sampai 22% sahaja, itupun kawasan ini terdedah kapada pencerobohan dan bedilan bom dari jet pejuang.

Perjuangan Yasser Arafat untuk menuntut sempadan tanah sebelum 1967 seluas 44% dari kawasan Palestin yang asal tidak kesampaian, kini Mahmud Abbas menagihkan kawasan yang jauh lebih kecil untuk Palestin.

Tuntutan ini juga tidak dilayan malah sehingga bulan September 2011, proposal untuk Palestin diterima sebagai anggota penuh dalam PBB masih tergantung kerana 126 negara yang menyokong, kurang dua lagi undi untuk diluluskan dalam Sidang Umum PBB.

Malah Majlis Keselamatan sendiri tidak dapat menjaminkan kemasukan penuh Palestin sebagai anggota penuh PBB. Sehingga ini sebahagian anggota-anggota yang ada sekarang dalam Majlis Keselamatan ialah Bosnia dan Herzegovina , Inggeris, Perancis, Gabon, German, India, Nigeria dan Portugal yang masih belum menentukan sikap.

Jelas umat Islam tidak dapat berharap kepada PBB. Resolusi 181 yang dikeluarkan pada 29hb September 1947 yang mengisytiharkan kewujudan Israel adalah titik bermulanya musibah yang sambung-menyambung ke atas rakyat Palestin. Tanah Palestin dibahagi dua: untuk Yahudi 53% dan untuk Arab 43%. Pokoknya PBB telah menerima penjajahan.

Kejahatan global yang diterajui oleh Israel dan didukung oleh US tidak dapat dicabar dengan efektif oleh bahasa diplomatik. PBB yang lebih merupakan pertubuhan pengumpul resolusi paling maksima hanya mampu mengeluarkan kecaman, kritikan, dan kata-kata ultimatum yang tidak pernah dihiraukan oleh Israel.



Resolusi 106 dikeluarkan pada 29hb Mac 1955 yang mengutuk serangan Israel ke atas Gaza, Resolusi 111 dikeluarkan kerana mengutuk serangan Israel yang menyerang Syria, Resolusi 162 yang mendesak Israel mematuhi keputusan PBB, Resolusi 237 yang mendesak Israel membenarkan pelarian Palestin kembali ke tanah air mereka seperti sebelum 1967 dan banyak lagi.

Marilah kita sama-sama menyeru agar semua Persidangan Khas yang diadakan saban tahun oleh pelbagai pihak mengenai Palestin dan Al Quds menghantar suatu semboyan jelas iaitu Jihad Membebaskan Palestin dan Al Aqsa.

Peredaran masa 64 tahun sudah terlalu lama. Israel yang merupakan proksi US dalam merekayasa hegemoni kuasa Barat ke atas politik Asia Barat sangat terang dan jelas. Untuk mengharapkan negara-negara Barat mengembalikan hak Palestin adalah suatu kemustahilan. Malah untuk bergantung kepada pemimpin negara umat Islam yang terikat dengan kuasa Barat juga tidak menjanjikan harapan. 


Kuasa sebenar berada dalam tangan umat Islam sendiri. Umat Islam yang tersusun dalam pelbagai organisasi massa dan NGO harus menggembleng seluruh tenaga dan sumber untuk melancarkan jihad dalam semua bidang untuk mengembalikan bumi Palestin dan Al Quds kepada kaum Muslimin.

Jihad ekonomi dengan melancar boikot kepada semua produk dan perkhidmatan yang secara langsung berkait dengan Israel. Ini termasuk seluruh syarikat yang berpengkalan di Israel. Tindakan memutuskan sebarang hubungan perdagangan dalam apa bentuk sekalipun hendaklah dilancarkan secara efektif.

Jihad sosial dengan memboikot seluruh acara sosial dan institusi sosial seperti universiti dan sebarang institusi yang yang berkait dengan pembangunan sosial. Ini termasuk dalam acara sukan dan industri hiburan.

Jihad politik iaitu melumpuhkan seluruh perjanjian yang dimeterai oleh negara dengan Israel dalam apa sahaja bidang perhubungan politik dan diplomatik.

Jihad ketenteraan dengan mendesak pemerintah negara-negara umat Islam menghantar tentera Islam ke Palestin untuk merampas kembali bumi Palestin yang ditakluki Yahudi Zionis.

Jihad teknologi iaitu dengan memastikan segala teknologi maklumat yang ada diguna untuk melancarkan serangan maklumat terhadap Israel. Teknologi maklumat perlu digunakan semaksimanya untuk mendedahkan persekongkolan antara US , British dan Israel.

Untuk semua medan jihad ini kita perlu menegaskan bahawa sudah sampai masanya seluruh NGO dan gerakan Islam antarabangsa menumpukan seluruh tenaga dan sumber ke arah pembebas Palestin. Kekuataan kepakaran dan jaringan organisasi sosial, ekonomi, politik, gerakan alam sekitar, hak asasi manusia, undang-undang hendaklah dipusatkan sehingga realisasi pembebasan Palestin dapat dicapai.

Sempena peringatan Hari Nakbah 2012 ini, marilah kita sama-sama mengesa bahawa mesej jihad sebagai satu- satunya jawapan kepada penaklukan Israel terhadap Palestin akan tercapai. Sindrom meluncurkan resolusi dan kata- kata tidak lagi boleh diharap lagi untuk membebaskan Palestin melainkan hanya dengan aksi jihad dan kita sama-sama mendoakan yang terbaik untuk umat-umat Palestin akan mengecapi bahagia sepertimana kita kecapinya di Malaysia. Selemah-lemah iman manusia yang tidak mampu untuk mengubah kemungkaran manusia lain...adalah dengan berdoa....Aamin Ya Rabbal A'lamin.. 





No comments:

Post a Comment